Demo rombak SPAD: Teksi vs teksi
Ketika himpunan besar pemandu teksi dirancang di Kuala Lumpur 18 November ini, sebuah kumpulan teksi tampil membuat laporan polis dan membantah rancangan itu.
Gabungan Persatuan Teksi Malaysia (GPTM) berpendapat himpunan jalanan hanya merosakkan nama baik sistem pengangkutan awam negara dan mengganggu lalu lintas.
"Kami tidak menyokong perhimpunan tersebut kerana kami memilih jalan rundingan berbanding mereka yang memilih jalanan,” kata presidennya, Norfaiza Abdul Ghani.
"Kami tegaskan di sini bahawa perhimpunan jalanan tersebut tidak akan membawa apa-apa kebaikan, sebaliknya hanya akan memberikan lebih keburukan kepada keseluruhan pemandu teksi di negara ini,” tegasnya.
Sebelum ini, sekumpulan pemandu-pemandu teksi mengumumkan akan mengadakan “ Himpunan Merombak Spad ” untuk menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat ( SPAD ).
Norfaiza menyifatkan tindakan kumpulan yang memilih himpunan untuk menyuarakan bantahan, sebagai tindakan yang salah dan tidak beradap.
Beliau mengesa pihak berkuasa seperti polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan tegas dengan tidak membenarkan perhimpunan tersebut diadakan.
Beliau juga mengesa pihak berkuasa menyita teksi-teksi yang menganggu lalulintas, serta menggesa SPAD menarik balik permit lesen individu dan syarikat yang turut terlibat dalam perhimpunan itu.
Norfaiza menyeru wakil-wakil persatuan teksi hadir ke "Majlis Interaksi industri Teksi Bersama Spad" di pejabat Spad pada jam 11 pagi esok untuk menyuarakan isu dan permasalahan dalam industri teksi.
"Gunakanlah forum ini untuk kita terus bersama-sama membantu menaikkan martabat industri teksi negara ini," katanya.
Mengenai persaingan dari teksi persendirian seperti Uber dan grabcar, Norfaiza mengakui masalah ini memang wujud namun perlu penyelesaian melalui rundingan.
"Jika pemandu teksi tidak puas hati, mereka boleh salurkan suara kepada wakil persatuan atau tulis surat kepada Spad melalui meja rundingan.
"Saya akui setakat ini mungkin SPAD gagal melaksanakan banyak dasar dan kebajikan tetapi SPAD dah buka pintu dan sedia berunding dengan kita," katanya.
Norfaiza berkata beliau telah membuat satu kertas kerja dan akan menghantarnya kepada Pengerusi SPAD, Datuk Seri Syed Hamid Albar dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
"Saya seru kepada pemandu teksi, berilah kepercayaan kepada kami untuk menyelesaikan masalah dengan cara rundingan dan bukan secara jalanan," katanya.

