Bekas Ketua PKR Rembau Badrul Hisham Shaharin, aktivis pelajar Adam Adli Abdul Halim dan Annie Ooi Siew Lan - lebih dikenali sebagai Aunty Bersih - adalah antara 18 aktivis diperintah membela diri di mahkamah, hari ini.

Mereka berdepan dakwaan mengikut Seksyen 143 dan Seksyen 147 Kanun Kesekesaan, masing-masing berhubung menyertai perhimpunan disifatkan polis sebagai haram dan merusuh.

Semua 18 orang itu adalah sebahagian dairpada 33 aktivis yang didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengikut salah satu atau kedua-dua seksyen berkenaan.

Mereka didakwa terlibat dalam perhimpunan di luar bangunan parlimen pada Jun 2013.

Daripada 33 tertuduh, hakim Abdul Rashid Daud mengarahkan 15 daripadanya dibebaskan.

Badrul Hisham - atau lebih dikenali dengan panggilan Chegubard - serta Adam Adli adalah antara aktivis yang menghadapi dua tuduhan.

Hakim memutuskan 22 Januari tahun depan untuk semua tertuduh tampil membela diri.

Tindakan didakwa berpilih-pilih

Himpunan berkenaan diadakan bagi mendesak pegawai dan anggota Suruhanjaya Pilihan Raya meletak jawatan kerana didakwa gagal menguruskan perjalanan pilihan raya dengan adil.

Sementara itu, Chegubard yang mengulas mengenai keputusan mahkamah itu berkata pihaknya tidak akan berhenti berjuang bagi "menuntut pilihan raya yang adil" di negara ini.

Malah katanya, kerajaan seharusnya malu dengan Myanmar yang baru sahaja tamat pilihan raya tanpa mengundang kritikan dunia.

“Apa yang kami perjuangkan ialah pelaksanaan pilihan raya yang bebas dan adil. Kita harus malu dengan Myanmar kerana mampu menjalankan pilihan raya tanpa kritikan dunia, malah keputusan itu diraikan.

"Malaysia harus malu dengan pilihan raya yang sangat kotor,” katanya kepada pemberita di luar mahkamah.

Katanya lagi, tuduhan yang dikenakan ke atas 33 aktivis itu sangat terpilih apabila kerajaan tidak mengambil tindakan sama ke atas kumpulan pro-Umno dan BN.

“Kes (ini) sangat panjang. Justeru, kami kecewa tindakan dikenakan ke atas kami dilakukan secara terpilih. Kumpulan penyokong Umno dan BN yang berhimpun dalam segala bentuk perhimpunan pula dilindungi,” katanya.