Aktivis Kumpulan Kartunis Independent (KKI) Lawrence Jeyaraj mengaku tidak bersalah atas tuduhan menghasut berikutan kenyataan yang dimuat naik beliau di laman Facebook miliknya.

Hakim Azman Ahmad kemudian menetapkan 6 Januari 2016 bagi tarikh sebutan semula kes berkenaan dan mengarahkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000.

Lawrence tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kira-kira jam 7.45 pagi dengan ditemani isteri dan tiga daripada tujuh anaknya.

Dia diwakili peguam Eric Paulsen dan kes berkenaan disebut kira-kira jam 11.20 pagi tadi.

Tertuduh ditahan mengikut Seksyen 4 (1) c Akta Hasutan pada 20 Februari lalu di rumahnya di Taman Cuepacs oleh sekumpulan lima anggota polis.

Lawrence, 45, kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di Kuala Lumpur untuk disiasat.

Polis turut merampas komputer peribadi Lawrence dan beberapa peralatan elektronik lain yang disyaki digunakan ketika membuat status didakwa "menghasut" di laman Facebook.

Berdasarkan catatan di laman Facebook Lawrence, selain mengkritik sistem kehakiman dan membangkitkan kes kontroversi di mahkamah - seperti perbicaraan tuduhan liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim serta dan pembunuhan model Mongolia Altantuya Shaariibuu - beliau juga didapati kerap mengkritik Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Kali terakahir Lawrence mengemaskini status ialah pada 6.34 petang 20 Febuari lalu apabila beliau menulis: "Police officer looking for me looks like I will be the next." (Pegawai polis mencari saya, nampaknya saya orang seterusnya).

Ia menerima banyak komen daripada pengguna Facebook lain dengan kebanyakannya memberi kata-kata semangat dan sokongan.