Mangsa pemerdagangan manusia dirogol 40,000 kali
GLOBAL Seorang wanita warga Mexico mendakwa pernah menjadi mangsa rogol sebanyak 43,200 kali selepas diperdaya oleh sindiket pemerdagangan manusia.
Menurut Karla Jacinto, 23, berkata beliau menderita selepas dijadikan sebagai alat pemuas nafsu selama empat tahun.
Memetik laporan CNN, wanita itu mendedahkan zaman gelapnya bermula selepas dia berkenalan dan bercinta dengan seorang lelaki berusia 22 tahun.
Menurut Karla, dia yang ketika itu berusia 12 tahun mengikut lelaki tersebut dan hidup bersamanya.
“Saya tinggal bersamanya selama tiga bulan. Dia melayan saya dengan baik. Semuanya sangat indah (pada mulanya),” kata Karla.
Bagaimanapun Karla kemudian diperkenalkan kepada bapa ayam sebelum teman lelakinya itu menghilangkan diri.
Selepas itu Karla mendakwa dia dipaksa menjadi pelacur sehinggalah pada usia 15 tahun dan melahirkan seorang bayi perempuan.
Namun, Karla akhirnya berjaya diselamatkan dalam satu operasi antipemerdagangan manusia pada 2008. Dia ketika itu dia berusia 16 tahun.
Justeru Karla berkata, pendedahan tersebut dibuat kerana tidak mahu kanak-kanak lain menjadi mangsa sepertinya.
Karla kini menjadi aktivis yang lantang bersuara menentang aktiviti pemerdagangan manusia.

