BERITA

Husam: Ketua Dewan Ulama PAS macam samseng

N Faizal Ghazali

Diterbitkan
Dikemaskini 13 Nov 2015, 4:31 petang

Bekas naib presiden PAS Datuk Husam Musa menegaskan beliau sama sekali tidak akan keluar daripada perjuangan parti itu.

Menjawab pertanyaan di program dialog “Demo Tanya Ambo Jawab” di Kota Bharu hari ini, Husam berkata, tiada sesiapa yang mempunyai hak untuk mengarahkan beliau supaya keluar PAS.

Husam yang juga ADUN Salor berkata, Dewan Ulama PAS juga tidak mempunyai hak untuk menyuruh beliau berbuat demikian.

"Demo sapo, kawe sapo? (kamu siapa, saya siapa) Ijtihad saya masih pilih duduk di dalam 'kapal' sebab kapal belum karam.

"Ketua Dewan Ulama PAS sama taraf dengan saya, PAS bukan milik dewan Ulama, bukan juga milik saya‎," kata Husam.

Mengulas kenyataan Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Dr Mahfozd Mohamed, Husam mempersoalkan atas alasan apa beliau perlu keluar daripada perjuangan parti itu.

"‎Apa salah saya? Bagi nas, (ayat) al-Quran, hadis, ijmak dan qias, apa kesalahan saya? Ini sepatutnya cara Dewan Ulama berfikir.

"Ini serupa macam orang lain, macam orang samseng juga. Awak siapa? Kalau dia (Mahfodz) jawab, ana (saya) ketua Dewan Ulama, ana (pula) ketua PAS kawasan Kubang Kerian," tegas Husam.

Beliau memberitahu bahawa PAS Kubang Kerian antara kawasan terkuat di Malaysia.

"Saya yang patut halau orang. Sudah tiga DUN satu Parlimen bertanding, alhamdulillah menang.

"Ketika bertanding di Parlimen, selain Tun Dr Mahathir (Mohamad), saya (calon) Melayu yang mendapat m‎ajoriti tertinggi, patut saya halau dia," katanya.

Dalam program yang di hadiri kira-kira 2,000 orang itu, Husam tetap mempertahankan tegurannya terhadap PAS sebagai tidak salah.

"Kecuali nyatakan kesalahan saya. Adakah Islam dalam PAS ini menjadi kesalahan kalau menegur?"

"Jadi saya nak beritahu, saya tak akan keluar PAS," kata bekas exco kerajaan negeri Kelantan itu.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.