Mayat tanpa kepala: Pemandu lori ditahan
Polis menahan seorang pemandu lori selepas disyaki terlibat dalam kes pembunuhan di Jalan Kampung Batu 4, Slim River dekat Tanjung Malim berikutan penemuan mayat seorang lelaki tanpa kepala di dalam longkang awal pagi semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak SAC Goh Kok Liang berkata suspek berumur 35 tahun itu ditahan di rumah bapanya di Kampung Air Jada, Gerik, pada 2 petang tadi.
"Polis menemui sebilah parang panjang kira-kira 0.8 meter, satu beg silang mengandungi sebilah pisau panjang kira-kira 0.15 meter.
"Satu guni plastik makanan anjing berwarna merah dan kuning serta di dalamnya terdapat satu plastik sampah warna hitam," katanya ketika dihubungi Bernama di Ipoh.
Beliau berkata pihaknya turut menemui kepala manusia yang disyaki kepala mangsa di dalam beg sampah berkenaan.
Goh berkata pada 2.10 pagi Jumaat, mayat seorang lelaki ditemui di dalam longkang tanpa kepala di tempat kejadian.
"Bertindak atas maklumat unit anjing pengesan K9 dan forensik telah dihubungi untuk ke lokasi memberi bantuan.
"Siasatan awal di tempat kejadian di Jalan Persekutuan (Jalan Ipoh - Kuala Lumpur, Batu 4, Slim River. Terdapat kesan darah di atas jalan raya sebelah kiri arah selatan (arah Slim River)," katanya.
Bawa kepala mangsa bersama
Mangsa dikenali sebagai K Ganesan, 50, yang beralamat terakhir di 136, Taman Slim Indah, Slim River.
Goh memaklumkan suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Teluk Intan pagi esok untuk mendapatkan perintah tahanan reman bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana dakwaan membunuh.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tanjung Malim Superintendan Ahmad Mat Isa berkata sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Siasatan Jenayah Berat D9 dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak menahan sebuah lori kontena yang dipercayai digunakan suspek di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng beberapa jam sebelum dia ditahan.
Bagaimanapun, suspek yang dipercayai membawa kepala mangsa bersamanya, gagal dikesan dan pasukan forensik dibawa ke lokasi penemuan lori berkenaan bagi siasatan lanjut.
Difahamkan kedua-duanya bergaduh sebelum mangsa dipancung dan kepalanya dibawa suspek masuk ke lori terbabit yang kemudian dipandu ke depoh di Simpang Pulai.
- Bernama

