Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyertai pemimpin dunia lain mengutuk siri serangan kumpulan bersenjata di Paris yang menurut laporan telah mengorbankan lebih 100 nyawa.

"Malaysia mengutuk serangan melampau di Paris hari ini ke atas orang awam yang tidak berdosa. Doa kami untuk rakyat Perancis," kata Najib di laman Twitter beliau.

Perdana Menteri berkata beliau terkejut dengan apa yang berlaku di ibu negara Perancis itu.

"Namun kita mesti kekal bersatu dan tidak berganjak daripada memerangi keganasan," tambah beliau.

Sementara itu Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz serta delegasi pelancongan yang berada di Paris untuk mesyuarat Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) di Paris berada dalam keadaan selamat.

Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalannya Datuk Mas Ermieyati Samsudin kepada pemberita selepas menghadiri program Karnival Nilai-Nilai Murni dan Semarak Warisan 2015 di George Town hari ini.

"Syukur alhamdulillah saya difahamkan delegasi Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan yang diketuai Yang Berhormat Menteri (Nazri) berada dalam keadaan selamat, kita doakan semoga menteri dan rombongan akan kembali ke Malaysia secepat mungkin dalam keadaan selamat," katanya.

Beliau turut melahirkan rasa simpati terhadap kejadian yang telah mengorbankan lebih 100 nyawa dan sentiasa mendoakan keselamatan rakyat Malaysia yang berada di Paris.

Dalam pada itu Mas Ermieyati turut menasihatkan kepada mereka yang sudah merancang percutian ke Paris sama ada yang sudah memiliki tiket penerbangan, agar mendapatkan maklumat dan pandangan terlebih dahulu daripada pihak Kementerian Luar.

- Bernama