Muzium bagi memperingati pengarah filem tersohor tempatan Yasmin Ahmad yang baru dibuka setahun, kini memerlukan sumbangan derma orang awam kerana berdepan dengan masalah kewangan.

Demi meneruskan kelangsungan muzium, satu kempen kutipan dana orang ramai telah diadakan melalui laman web crowdfunding "Start Some Good".

Muzium yang bernama 'Yasmin At Kong Heng' itu terletak di Bandaraya Ipoh dan ia dirasmi pembukaannya oleh ibu Yasmin pada November 2014 dengan bantuan kawan dan peminat pengarah filem itu.

Mengikut laman web itu, muzium Yasmin perlu mencapai jumlah derma US$1,7500 sebelum 24 November sebagai memenuhi syarat 'tipping poin'.

Namun, setakat pagi ini, muzium tersebut hanya dapat wang dermaan sebanyak US$1,0003 dan tarikh akhir 'tipping poin' tinggal tidak sampai sembilan hari.

Umumnya sebarang kempen kutipan dan orang ramai yang dijalankan melalui laman web crowdfunding akan menetapkan satu tipping poin dan jika amaun dermaan tidak memenuhi tipping poin pada tarikh tertentu, semua wang dermaan itu akan dipulangkan kepada penderma.

Selain amaun 'tipping poin', matlamat akhir muzium Yasmin dalam kempen ini ialah mengharap menerima wang derma sebanyak US$70,000.

Selaras dengan kempen ini, muzium Yasmin turut menyunting satu video pendek yang bernama "bantu muzium Yasmin Ahmad untuk terus hidup" (help keep the Yasmin Ahmad Museum Alive).

Adik Yasmin harap bantuan

Adik Yasmin Ahmad, Orked Ahmad berharap orang ramai dapat memberikan sumbangan agar kempen mereka mencapai tipping poin.

"Tolonglah, kalau sayang Yasmin tolong... Bagi sepuluh dollar pun tak apa," kata Orked ketika dihubungi Malaysiakini.

"Kalau tidak capai tipping poin, kempen dana orang ramai ini tidak dapat diteruskan," katanya lagi.

Orked juga berkata perbelanjaan muzium tersebut selama ini dibiayai oleh penderma.

Katanya, walaupun mereka pernah berjaya mengumpul sebanyak RM30,000 dalam satu malam dana pada Mac atau April tahun lepas, namun wang itu sudah habis dibelanjakan.

"Masa itu kami nak tubuhkan muzium Yasmin ini, maka kami adakan malam (kutipan) dana, semua kawan Yasmin tampil membantu, ada yang nyanyi, jual painting dan baca puisi.

"Akhirnya kami dapat mengumpul RM30,000 dan berjaya menubuhkan muzium ini," jelas Orked.

Tambah idea pameran baru

Menurut Orked, tujuan kempen pengumpulan dana kali ini pula bertujuan untuk mengembangkan muzium termasuk menambah idea pameran baru.

"Kita nak buat bermacam-macam benda, kita nak buat virtual muzium, ubahsuai bahan-bahan pameran dalam muzium dan lain-lain, tapi masalahnya kita tidak cukup wang," jelas Orked.

Katanya, jika dapat dermaan yang cukup, mereka merancang untuk membuka empat hari seminggu kepada orang ramai untuk melawat muzium ini.

Pada masa ini, muzium ini hanya dibuka kepada orang ramai pada hari Sabtu dan Ahad.

"Ibu saya tubuhkan muzium ini agar semangat Yasmin tidak berhenti. Siapa yang tak kenal Yasmin boleh kenalnya di sini," kata Orked.

Pengarah filem tempatan membantu

Sementara itu, sesetengah pengarah filem bebas tempatan melalui akuan media sosial mereka membuat seruan agar orang ramai boleh menderma kepada muzium itu.

Antaranya, Pengarah filem bebas tempatan Liew Seng Tat memuat naik filem kempen itu dalam akuan Facebooknya agar orang ramai mengetahui kempen ini.

"Jika anda mempunyai kemampuan, sila derma kepada muzium.

"Ini bukan hanya satu muzium untuk memperingati Yasmin Ahmad, tetapi ia juga adalah satu pusat sumber untuk mendidik dan memberi inspirasi kepada orang lain untuk menulis skrip sendiri.

"Walaupun kecil, namun ruangnya bebas dan penuh dengan semangat, kasih sayang, kebijaksanaan dan humor Yasmin Ahmad yang boleh terus menginspirasi generasi akan datang," kata Liew.

Pemain muzik bebas tempatan Pete Teo juga berkongsi kempen ini dalam akuan Facebooknya, beliau menulis: "Kebanyakkan daripada kita, tak kita kamu sedar atau tidak, hutang kepada Yasmin."

"Saya mesti akan buat, Malaysia juga akan buat, saya telah derma sedikit wang, boleh tak kamu juga buat demikian," seru Teo.