Semakin ramai kanak-kanak ditahan di penjara
Seramai 587 kanak-kanak ditahan di penjara di seluruh negara sehingga 30 November lalu.
Seramai 587 kanak-kanak ditahan di penjara di seluruh negara sehingga 30 November lalu.
Menurut Pegawai Undang-undang Bahagian Keselamatan Jabatan Penjara, M Subramaniam mereka berumur antara 14 dan 18 tahun yang ditahan untuk tujuan perlindungan, pemulihan dan reman.
Jabatan Penjara, katanya, sedang berusaha sebaik mungkin untuk memisahkan mereka daripada pesalah dewasa, tetapi pihaknya menghadapi masalah kerana kekurangan kemudahan.
"Pesalah juvenil tidak seharusnya ditempatkan bersama orang dewasa di dalam penjara. Mereka memerlukan persekitaran yang sesuai untuk kanak-kanak," katanya di seminar mengenai Akta Kanak-kanak 2001 di Kuala Lumpur.
Mengenai penghuni Sekolah Henry Gurney, beliau berkata sehingga 30 November lalu, terdapat 478 kanak-kanak lelaki daripada sejumlah 537 juvenil di situ.
Mereka ditempatkan di situ untuk proses tahanan dan pemulihan bagi tempoh tiga tahun. Mereka belajar mengikut sukatan sistem pendidikan, pelajaran agama, kaunseling atau kursus vokasional mereka mereka yang kurang minat belajar.
Sekolah Henry Gurney ditubuhkan untuk tujuan pemulihan moral di kalangan pesalah juvenil. Sekolah tersebut memberi penekanan kepada latihan vokasional dan latihan akademik.
Terdapat lima buah sekolah seumpama itu di Malaysia di Batu Gajah, Ayer Keroh, Telok Mas, Kota Kinabalu dan Keningau.
Utamakan kebajikan
Sementara itu, Penolong Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Teoh Kim Lian menegaskan pentingnya memberi keutamaan kepada kebajikan kanak-kanak.
Ketika membentangkan kertas kerja di seminar tersebut, beliau berkata adalah tidak mudah untuk mengimbangi kebajikan kanak-kanak dan aspek undang-undang yang berkaitan dengan mereka.
Katanya, dalam kebanyakan kes, terutama yang melibatkan perceraian ibubapa, kanak-kanak terbabit akan menjadi mangsa dera atau terbiar.
Penceramah lain di seminar tersebut termasuk wakil Majlis Peguam, Polis dan Pejabat Peguam Negara.
Akta Kanak-kanak 2001 dikuatkuasakan pada 1 Ogos 2002 untuk melindungi kanak-kanak lelaki dan perempuan yang berumur bawah 18 tahun.
Di bawah Seksyen 96 (2) akta tersebut, kanak-kanak yang berumur 14 tahun ke atas tidak dikenakan hukuman penjara jika mereka dikendalikan melalui cara lain sama ada diperintah berkelakuan baik, atau didenda atau dihantar ke sekolah pemulihan.

