Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hadi nafi cuba bentuk k'jaan perpaduan Umno-PAS di S'gor

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menafikan dakwaan bahawa beliau mahu bekerjasama dengan Umno dengan membentuk kerajaan perpaduan di Selangor sewaktu krisis menteri besar tahun lalu.

"Tak ada, tak ada," katanya ketika ditanya oleh wartawan hari ini.

Ini walaupun ADUN PAS Datuk Husam Musa, yang membuat dakwaan itu, menyatakan bahawa beliau sedia menceraikan isterinya jika dakwaan itu tidak benar.

Mengulas hal itu, Hadi yang juga timbalan ketua kesatuan ulama sedunia mencabar bekas naib presiden PAS itu untuk berbuat demikian.

"Biar dia sumpahlah. Kalau apa yang dia kata betul dan kami bohong, sila bersumpah (untuk cerai isterinya)," katanya dalam sidang media di Shah Alam hari ini.

MP Marang itu berkata Husam yang juga bekas exco Kelantan "tak tahu apa-apa" memandangkan berada di negeri itu.

Minggu lalu, Husam yang juga yang dipertua PAS Kubang Kerian mendakwa Hadi mengakui cuba membentuk kerajaan PAS dan Umno di Selangor.

"Dia mengakui mengajak dua atau tiga ADUN PKR untuk menyertai PAS bagi membentuk kerajaan negeri Selangor bersama Umno," kata Husam.

Sementara itu, Hadi menegaskan bahawa kerajaan perpaduan dengan BN tidak akan berulang lagi selepas PAS menyertai BN sejak tahun 1970-an dan menyifatkannya sebagai isu yang "ketinggalan zaman".

Sebaliknya, beliau berkata kerajaan perpaduan tidak bermaksud bahawa PAS akan menyertai BN seperti yang pernah diusahakan pada 2008.

"Ia bermakna semua parti, BN pun dalam kerajaan, DAP, PAS dan PKR. Tak ada pembangkang. Itu kerajaan perpaduan.

"(Kerajaan perpaduan pada 2008) tak jadi sebab ada parti yang tak setuju (pada waktu itu). Bukan masuk BN," katanya.

Hadi bagaimanapun berkata kerjasama dengan BN adalah "perkara biasa" khususnya melibatkan kepentingan nasional seperti pencerobohan negara asing ke dalam Malaysia, menangani masalah dadah dan jenayah.

"Termasuklah isu yang berkait dengan pelarian Rohingya, Palestin, Bosnia. Kami juga kerjasama tentang isu ekonomi rakyat. Kita pernah menjadi perunding ekonomi negara," katanya.

Ditanya sama ada Husam perlu dipecat dari jawatannya sebagai ADUN, Hadi berkata ia terpulang kepada PAS Kelantan untuk membuat keputusan.

"Itu terpulang kepada PAS Kelantan untuk menentukan tindakan yang perlu diambil," katanya sambil menambah sedang menunggu laporan berhubung perkara itu dari PAS negeri itu.

Selain membuat dakwaan tersebut, Husam turut mendakwa kerajaan Kelantan bertanggungjawab terhadap pembalakan haram di hutan simpan di negeri pantai timur itu.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS