PARLIMEN Kerajaan telah membayar RM60 juta sebagai fi perkhidmatan kepada dua syarikat yang menguruskan kamera lalu lintas Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata sehingga 25 Ogos tahun ini, hampir RM27.2 juta dibayar kepada ATES Sdn Bhd, manakala RM32.9 juta dibayar kepada Beta Tegap Sdn Bhd.

Dalam jawapan bertulis kepada Khalid Samad (AMANAH-Shah Alam), Liow berkata, daripada 23 September 2012 sehingga 30 September tahun ini, 2.144 juta saman dikeluarkan.

"(Ini) bagi kesalahan memandu melebihi had laju dan tidak mematuhi peraturan lampu isyarat," kata menteri itu.

Sistem AES disemak semula tidak lama selepas dibuat menerusi talian kerana rakyat berang dengan pelaksanaannya.

Semalam, Liow dipetik Bernama sebagai berkata bahawa saman AES masih perlu dibayar.

Beliau juga berkata kerajaan akan mengumumkan hasil kajian AES tidak lama lagi dan diselaraskan dengan sistem markah demerit (Kejara).

Pada masa ini, empat belas kamera AES sedang beroperasi.