Najib nafi MRCB-GK diberi kontrak RM11.5 b bina LRT3
PARLIMEN l Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menafikan kerajaan memberi kontrak kepada Malaysian Resources Corp Bhd-George Kent (MRCB-GK) bernilai RM11.5 bilion bagi pembinaan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) dari Bandar Utama ke Klang.
“Projek LRT3 dilaksanakan secara tender terbuka pra-kelayakan dan seterus disenarai pendek untuk tender terhad di kalangan enam syarikat,” kata Najib selaku menteri kewangan.
"Kos projek LRT3 ditetapkan oleh Prasarana Malaysia Berhad adalah tidak melebihi RM9 bilion dan fi PDP sebanyak enam peratus daripada kos projek yang dimuktamadkan,” katanya.
Bagaimanapun, menurut Najib, kos projek sebenar bagi projek LRT3 belum dimuktamadkan.
“Kos sebenar bagi projek LRT3 akan dirundingkan di antara Prasarana Malaysia Berhad dan MRCB-GK tertakluk tidak melebihi RM9 bilion,” kata Najib dalam jawapan parlimen yang bertarikh 11 November.
Najib berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz (DAP-Raub) yang meminta rasional memberi pembinaan itu kepada George Kent dan MRCB pada kos RM11.5 bilion sedangkan ada syarikat membuat bida RM9 bilion.
Pada 4 September lalu, pengendali LRT, Prasarana mengumumkan syarikat kerjasama MRCB-GK terpilih sebagai kontraktor LRT3.
Kontroversi timbul apabila didedahkan bahawa MRCB-GK menawarkan bida pada harga yang lebih tinggi - RM11.5 bilion - berbanding RM9 bilion untuk jajaran berkenaan yang telah ditetapkan oleh Prasarana.

