Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim menolak dakwaan kerajaan menggunakan Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 untuk menutup amalan rasuah.

Mengulas dakwaan veteran Umno Tengku Razaleigh Tengku Hamzah ( gambar ) itu, Razali berkata tiada sebarang pendakwaan dibuat bawah akta itu sejak 2009 – enam tahun lalu.

Razali memberitahu perkara itu kepada Dewan Rakyat dalam sesi soal jawab hari ini.

Mengingatkan bahawa Malaysia mempunyai Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2012, Razali berkata OSA digunakan untuk memastikan integriti dalam pentadbiran.

Tanpa OSA, katanya, struktur pentadbiran akan menerima kesannya.

Anggota parlimen Muar itu menjawab soalan Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) yang membangkitkan tanggapan OSA digunakan untuk menutup amalan rasuah.