'Sekatan bagi kurangkan liputan undi tolak bajet'
Ahli Parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah percaya tindakan Parlimen menghadkan jumlah wartawan yang dibenarkan membuat liputan prosiding Dewan Rakyat bertujuan mengurangkan liputan apabila wakil rakyat mengundi menolak Bajet 2016.
Mulai hari ini, dengan peraturan baru-baru itu yang hanya tiga wartawan setiap agensi, termasuk jurugambar dan juruvideo, boleh menghadiri sidang Parlimen.
"Saya yakin ini dilakukan dengan sengaja dan sasaran mereka adalah sidang hari ini di mana mungkin ada sesuatu yang luar biasa bakal berlaku di Parlimen.
"Bajet mungkin ditolak. Malah, (ahli parlimen) BN juga mungkin berpaling tadah," kata Raja Bahrin pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Pengamal media ditapis di pintu masuk Parlimen hari ini dengan agensi yang menghantar lebih daripada tiga pemberita diminta pulang.
Larangan ini didakwa dikuatkuasakan kerana keterbatasan ruang di lobi Parlimen sementara.
Kebetulan, hari ini juga adalah hari terakhir perbahasan Bajet, dengan Kementerian Kewangan yang terakhir untuk menggulung.
Ahli Parlimen kemudiannya akan mengundi, dan jika diluluskan, bajet itu akan dibawa ke peringkat jawatankuasa pula.
Pembangkang merancang untuk mengundi untuk menolak bajet bagi menunjukkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah hilang sokongan majoriti di Dewan.

