Rafizi Ramli (PKR-Pandan) hari ini memfailkan usul tergempar mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membatalkan hasrat dan cadangan kerajaan persekutuan untuk membenarkan 1MDB melupuskan pegangannya di dalam Edra Global Energy Berhad sehingga 100 peratus kepada sebuah konsortium Cina dan Qatar.

Menurut Rafizi, beliau berharap usul tergempar itu akan dibahaskan pada Rabu ini.

“Hasrat dan cadangan Kerajaan Persekutuan itu bertentangan dengan peraturan sedia ada yang menghadkan pegangan ekuiti oleh pelabur asing di dalam sektor penjanaan tenaga kepada maksimum 49 peratus demi kepentingan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau membuat usul itu berdasarkan surat daripada Suruhanjaya Tenaga kepada Ketua Setiausaha Perbendaharaan bertarikh 11 September 2015 yang berkata ia tidak mempunyai bantahan terhadap penjualan saham 100 peratus kepada pelabur asing.

"Mesyuarat Suruhanjaya pada 6 September telah berbincang mengenai perkara ini dengan samping mengambil kira agenda liberalisasi kerajaan, amalan negara-negara lain, dan impak penglibatan pelabur asing ke atas sektor industri negara.

"Sehubungan itu, Suruhanjaya itiada halangan dengan rancangan Kementerian Kewangan untuk membenarkan Edra melupuskan 100 peratus saham bagi aset-aset milikannya kepada pelabur asing," petik surat Suruhanjaya Tenaga diperolehi oleh Malaysiakini.

Melupuskan Edra adalah antara beberapa tindakan yang diambil oleh kerajaan sedang dalam usaha menyelesaikan 1MDB yang sarat hutang.