AMANAH setia menanti 'orang terbuang' Kelantan
Walaupun Datuk Husam Musa memilih terus bersama PAS, Parti Amanah Negara (AMANAH) Kelantan tetap berharap bekas naib presiden parti Islam itu akan bersama mereka tidak lama lagi.
Pengerusi AMANAH Kelantan Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah ( berbaju hijau ) berkata, beliau percaya selepas segala isu-isu yang dibangkitkan ADUN Salor terhadap kerajaan negeri selesai, Husam akan bersama AMANAH.
Sehubungan itu, bekas yang dipertua PAS Kota Bharu itu berkata, beliau bersama AMANAH negeri akan menunggu Husam dengan sabar untuk menyertai parti tersebut.
"Kita mohon dia keluar (PAS) dan bersama AMANAH dah lama dah. Tetapi mungkin kerana dia belum selesai agenda dia (dalam PAS) dan masih diperlukan dalam parti, jadi rakyat memahami hasratnya.
"Dan kami khususnya AMANAH Kelantan akan menunggu dengan sabar untuk dia bersama dan memimpin AMANAH," katanya kepada Malaysiakini .
Selain itu, bekas speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan itu berkata, sebagai individu yang telah terlibat dalam politik lebih 40 tahun, Wan Abdul Rahim menganggap Husam sebagai aset yang disia-siakan oleh kerajaan negeri dan PAS.
Ia berikutan Husam dilihat "dipinggirkan" selepas pilihan raya umum ke-13 dan muktamar PAS Jun lalu.
"Dia itu seorang aset yang berharga bukan sahaja setakat di Kelantan tapi untuk seluruh negara.
"Lepas kenal dia berpuluh tahun, saya rasa rugi kepada PAS dan kerajaan negeri yang mensia-siakan bakatnya.
"Saya masih lihat Husam sebagai adik yang berjaya lahir dan membesar jadi dewasa dan mempunyai peminat yang ramai terutama anak muda di Kelantan dan di rantau," kata bekas setiausaha politik kepada Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu lagi.
Rakyat 'berselera'
Ditanya mengenai penerimaan rakyat Kelantan berhubung isu-isu yang dibangkitkan Husam terhadap kerajaan negeri, Wan Abdul Rahim berkata masyarakat negeri itu mengikuti perkembangan tersebut dengan penuh minat dan berharap supaya ia berterusan.
"Rakyat Kelantan memang berselera dengan apa yang Husam bawakan dan mengikuti penuh minat dan harapkan susulan yang berterusan.
"Kalau tak ada pemain macam dia, (politik di Kelantan) malap," katanya lagi.
Husam baru-baru ini lantang mengkritik pentadbiran kerajaan negeri Kelantan serta Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Perkara itu menyebabkan beliau disarankan untuk keluar parti dan menyertai AMANAH oleh Dewan Ulama PAS.
Bagaimanapun, dalam sebuah program dialog Jumaat lalu, Husam menegaskan beliau tidak akan keluar daripada PAS walaupun merasakan dirinya sebagai " orang terbuang ".

