Pua: DAP memang berhasrat tanding di Taman Templer
Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua berkata, parti itu memang berhasrat untuk bertanding di DUN Taman Templer yang kini dikuasai PAS.
Menurutnya lagi, pihaknya serius untuk bertanding di kawasan itu dengan turut menubuhkan sebuah pusat khidmat komuniti DAP Taman Templer.
Bagaimanapun, katanya, keputusan untuk bertanding di kawasan tersebut belum muktamad memandangkan pihaknya akan berbincang terlebih dahulu dengan rakan mereka dalam Pakatan Harapan.
"Kami memang berhasrat untuk bertanding di DUN Templer. Tapi ini bukan keputusan muktamad Pakatan Harapan.
"Kita akan berbincang macam adik-beradik bersama rakan seperjuangan kami dalam Pakatan Harapan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian Pusat Khidmat Komuniti DAP Taman Templer.
Pua yang juga MP Petaling Jaya Utara berkata DAP ingin bertanding di kawasan itu kerana jumlah peratusan pengundi Melayu dan Cina tidak mempunyai perbezaan yang ketara.
Di DUN Taman Templer, katanya, sebanyak 50.4 peratus terdiri daripada pengundi Melayu, 34.6 peratus pengundi Cina dan 12.8 peratus pengundi India.
"Pembangkang berjaya tawan DUN (Taman) Templer buat kali pertama pada pilihan raya 2013. PAS mendapat undi sebab ada Pakatan Rakyat bukannya parti PAS itu.
"Oleh sebab itu penting bagi kita sekarang ada gabungan politik baru, Pakatan Harapan, untuk kekalkan kerusi ini.
"Saya percaya majoriti dari pengundi yang di Taman Templer dan Parlimen Selayang beri undi pada gabungan politik dan bukan parti individu," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pula berkata, beliau memberi sepenuh kepercayaan terhadap DAP Selangor untuk menentukan sama ada parti itu ingin bertanding di kawasan berkenaan atau tidak.
"Apa-apa berkaitan Selangor ia diuruskan Tony Pua. Kita akan sokong apa-apa pendirian oleh DAP Selangor," kata Guan Eng.

