Majlis Peguam hari ini menafikan dakwaan bahawa ia memulaukan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Apandi Ali yang dilantik sebagai Peguam Negara menggantikan Tan Sri Abdul Gani Patail.

Presiden Majlis Peguam Steven Thiru hari ini berkata pihaknya akan meneruskan hubungan kerja sedia ada dengan Jabatan Peguam Negara dan badan kehakiman sebagai rakan kongsi dalam pentadbiran keadilan.

"Dalam hal ini, selepas mengambil alih jawatan bagi penggal 2015-2016, pemegang jawatan Majlis Peguam Malaysia dan anggota majlis yang terdiri daripada bekas presiden, bertemu dengan bekas peguam negara (Gani) dan pegawai-pegawai Jabatan Peguam Negara pada 1 Jun.

"Sejak itu, ada juga mesyuarat-mesyuarat lain dengan Jabatan Peguam Negara," katanya, sambil menambah bahawa mesyuarat seumpama itu akan diadakan apabila terdapat isu-isu berkaitan amalan profesional atau pentadbiran keadilan.

Thiru juga berkata Majlis Peguam sentiasa mengekalkan hubungan profesional dengan peguam negara dan Jabatan Peguam Negara.

Apandi, dalam satu temu bual 14 November dengan portal The Malaysian Insider mempersoalkan sama ada Majlis Peguam memulaukannya kerana tiada seorang pun daripada ahlinya yang memohon mesyuarat bersama atau melakukan kunjungan hormat.

Apandi berkata ini berlaku di sebalik hakikatnya beliau adalah seorang peguam pertama yang dilantik sebagai peguam negara dan menjadi ahli Majlis Peguam selama 12 tahun termasuk dilantik selama dua penggal sebagai bendahari badan itu.