Penganggur didakwa cedera pipi promoter di Plaza Low Yat
Seorang penganggur, Muhamad Faizal Mahmud Affandi, 27, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan di pipi muka seorang promoter, Chea Wei Jian, 23, di Ground Floor Plaza Low Yat, Jalan Bintang di ibunegara pada jam 7.20 malam 12 November lepas.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam, didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.
Muhamad Faizal turut mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan mengganggu ketenteraman awam dengan cara mengamuk di tempat dan hari yang sama pada jam 7.30 malam dan didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil No 3/55 Pindaan 336/87 dan boleh dihukum akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM100.
Mahkamah juga tidak membenarkan tertuduh diikat jamin selepas Pegawai Pendakwa, Asisten Superintenden Zuraimi Kamarozzaman memberitahu mahkamah tertuduh dikhuatiri mengganggu saksi.
Mahkamah menetapkan 15 Disember untuk sebutan semula kes.
Terdahulu, ketika pertuduhan dibacakan, tertuduh yang memakai baju batik berwarna hijau menendang-nendang kandang tertuduh.
"Bawa bertenang. Kamu tak boleh marah-marah mahkamah macam ini. Jika kamu tidak salah, kamu lantik peguam," kata majistret Saifulakmal Said.
Sementara itu, di mahkamah yang sama, seorang duda anak satu dijatuhi hukuman penjara enam hari dan denda RM2,000 hari ini selepas mengaku bersalah menipu sebuah pasar raya menukar tanda harga asal tiga barangan elektrik kepada tanda harga lebih murah.
Majistret Saifulakmal Said turut memerintahkan Fong Wai Leong, 37, dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda dan memerintahkan Fong menjalani hukuman bermula dari tarikh dia ditangkap 11 November lepas. Tertuduh membayar denda itu.
Fong, seorang tukang ubah suai rumah, didakwa menipu menukarkan tanda harga asal kepada tanda harga yang lain dengan cara menampalkan tanda harga lain ke atas tiga jenis barang elektrik sehingga menyebabkan kerugian RM1,151.
Tiga jenis barang itu ialah pengisar berjenama Panasonic dengan harga asal RM899 ditukar kepada RM104, periuk nasi berjenama Khind Anshin RM419 ditukar kepada RM89 dan 'slow cooker' berjenama Elba RM127 ditukar kepada RM101.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di kaunter juruwang Pasaraya Jaya Jusco Aeon, Taman Maluri, Cheras di sini, pada jam 9.30 malam 11 November lepas.
Fong didakwa mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 417 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun, atau denda atau kedua-duanya.
Fong diwakili peguam Muhammad Syazwan Mohd Salleh.
- Bernama
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.