MB Inc Perak nafi dakwaan kelulusan tanah padanya tak telus
Menteri Besar Incorporation (MB Inc) hari ini menyangkal dakwaan Penasihat DAP Perak Ngeh Koo Ham bahawa kelulusan tanah oleh kerajaan negeri kepada perbadanan itu adalah tidak telus.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Aminudin Hashim berkata dakwaan Ngeh itu meletakkan MB Inc dalam situasi yang teruk sekali gus memberi persepsi mengelirukan kepada rakyat Perak.
"MB Inc tidak pernah memiliki 10,000 hektar tanah seperti yang didakwa Ngeh kerana kami hanya mempunyai tanah seluas 2,200 hektar.
"Dakwaan itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada reputasi MB Inc. Kami kecewa dengan kenyataan beliau," katanya dalam satu sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh hari ini.
Beliau diminta mengulas kenyataan Ngeh baru-baru ini yang mempertikai ketelusan kerajaan negeri dalam pemberian tanah kepada MB Inc sejak empat tahun lepas.
Ngeh, yang merupakan ADUN Sitiawan, turut mendakwa siasatan pihaknya mendapati kerajaan negeri meluluskan tanah di tujuh daerah, antaranya Perak Tengah, Manjung, Kuala Kangsar, Batang Padang serta Lembah Kinta bernilai berbilion ringgit kepada perbadanan itu.
Aminuddin berkata pihaknya telah berbincang dengan peguam berkaitan tindakan undang-undang yang boleh diambil terhadap Ngeh.
"MB Inc bukan milik Menteri Besar Perak serta bukan sebuah entiti politik. MB Inc diwujudkan bagi membantu kerajaan negeri menjana hasil negeri untuk faedah dan kepentingan rakyat.
"MB Inc merupakan entiti yang dimiliki kerajaan negeri yang bertindak sebagai pemegang kepentingan strategi di tiga kawasan utama iaitu pembangunan mampan mineral, pembangunan hartanah dan industri strategik," katanya.
- Bernama

