Tiada permohonan untuk kesan Jho Low, empat lain
PARLIMEN l Tiada permohonan yang diterima daripada mana-mana pihak untuk meminta bantuan Interpol bagi mengesan jutawan Jho Low dan empat yang lain kerana tiada siasatan yang dibuat terhadap mereka, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
"Pihak Interpol Polis DiRaja Malaysia tidak dapat mengesan dan menentukan di mana penama-penama berkenaan berada ketika ini memandangkan tiada siasatan yang dibuat oleh polis terhadap mereka.
"Di samping tiada permohonan yang diterima daripada mana-mana pihak untuk meminta bantuan Interpol mengesan penama-penama berkenaan,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen kepada Wong Chen (PKR-Kelana Jaya).
Selain Jho Low, Wong Chen dalam soalannya meminta menteri dalam negeri menyatakan di manakah pengarah urusan bekas anak syarikat 1MDB SRC International Nik Faisal Ariff Kamil, Pengurus Deutsche Bank Yusof Annuar Yaacob, Casey Tang dari Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) yang kemudiannya dinamakan sebagai 1MDB dan beklas pengarah eksekutif di UBG, Jasmine Loo.
Kedua-dua Tang dan Loo juga dicari oleh Bank Negara Malaysia pada Julai lalu.
Nik Faisal, yang menurut Perdana MenteriDatuk Seri Najib Razak, akan disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), masih hilang bersama dengan rakannya, Suboh Md Yassin.
Portal Sarawak Report juga melaporkan Low telah melabuhkan kapal layarnya di pelabuhan Incheon, Korea Selatan dan mengadakan pesta yang menelan jutaan ringgit.
Sebelum ini, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali memaklumkan bahawa SPRM telah merakamkan keterangan daripada bos SRC International.
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.