Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
RM1 juta barang tiruan Jalan Petaling, Low Yat dirampas
Diterbitkan:  Nov 17, 2015 11:38 AM
Dikemaskini: 3:46 AM

Dalam tempoh lima tahun terakhir, rampasan barang tiruan di Jalan Petaling dan Plaza Low Yat di ibu negara mencecah nilai lebih RM1 juta.

Menurut jawapan bertulis menteri perdagangan dalam negeri, koperasi dan kepenggunaan di parlimen, terdapat 53 kes di Jalan Petaling dengan nilai rampasan RM984,570.

Manakala di Plaza Low Yat pula terdapat 84 kes dengan nilai rampasan RM144,118 antara tahun 2010 dan 2015.

“Kerajaan sentiasa memberi perhatian serius dan berusaha menangani kegiatan penjualan dan pengedaran barang tiruan dan tidak hanya di Jalan Petaling dan Plaza Low Yat, malah di seluruh negara,” menurut kerajaan.

Jawapan itu dikeluarkan sebagai menjawab pertanyaan Datuk Abdul Manan Ismail (Paya Besar) yang mahu tahu statistik berkenaan.

Sementara itu, kerajaan juga menjelaskan kementerian secara konsisten menjalankan pemantauan dan pemeriksaan untuk membendung penjualan barangan tiruan yang melanggar cap dagangan.

Kesalahan itu, menurutnya, boleh diambil tindakan bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

“Oleh itu, kementerian mnengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk melaporkan sebarang kegiatan penjualan barang tiruan supaya tindakan segera dapat diambil terhadap pihak-pihak yang terbabit,” katanya.

Isu barangan tiruan di Low Yat ditimbulkan selepas insiden pergaduhan di tempat perniagaan itu sebelum ini.

Manakala di Jalan Petaling pula, terdapat gesaan supaya aktiviti jualan barangan tiruan dibendung, yang timbul dalam himpunan baju merah di pada 16 September lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS