Menteri kewangan hari ini mengakui terdapat penyaluran dana syarikat milik dan berkaitan kerajaan melalui ahli dan parti politik.

Beliau bagaimanapun menjelaskan tiada dana khusus disalurkan langsung kepada pihak itu.

Jika terdapat sumbangan, jelasnya, ia dikendalikan seperti permohonan NGO berdasarkan keperluan organisasi itu dan baki peruntukan program tanggungjawab korporat (CSR).

Menurut jawapan bertulis di parlimen, sumbangan yang disalurkan melalui ahli dan parti politik untuk membiayai aktiviti-aktiviti seperti menyokong acara sekolah, membantu mangsa banjir serta memberikan bantuan hari raya.

“Jumlah sumbangan dalam sesuatu tahun bergantung kepada jumlah permohonan yang diterima dan keupayaan kewangan syarikat untuk menyediakan peruntukan bagi CSR,” katanya.

Menteri kewangan memberikan jawapan itu sebagai menjawab soalan Tan Sri Khalid Ibrahim ( gambar ) (Bebas-Bandar Tun Razak) yang mahu tahu jumlah dana GLC yang disumbangkan kepada ahli politik atau individu sejak tahun 1981 hingga 2014.

Bekas tokoh korporat itu juga mahu tahu sama ada terdapat sebarang perancangan untuk menghentikan amalan itu.