Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) hari ini menuntut supaya sekatan ke atas liputan media di Dewan Rakyat dikaji semula.

Beliau berkata, media tidak seharus dihadkan kepada hanya tiga anggota bagi setiap agensi, dan menyoal jika Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said boleh memberi wartawan lebih ruang.

"Saya faham sebab di sebalik ruang yang terhad [...] tetapi sebelum ini pegawai-pegawai kerajaan adalah di tingkat pertama (bukan di lobi).

"Sebelum ini Arau (Datuk Seri Shahidan Kassim) dan Padang Renggas (Datuk Seri Nazri Abdul Aziz) tidak memerlukan keseluruhan tingkat [...] tetapi hari ini saya melihat bahawa menteri (Azalina) mengambil alih seluruh tingkat," kata Mahfuz di Dewan Rakyat hari ini.

Pada masa ini, media diletakkan di sayap kanan lobi, manakala pegawai kerajaan pula ditempatkan di sayap kiri.

Kedudukan baru ini adalah berbeza ketika Shahidan dan Nazri menjaga hal ehwal parlimen.

Sepanjang tempoh perkhidmatan mereka, kedua-dua sayap lobi dikhususkan untuk media, manakala ruang di tingkat satu dikhususkan untuk pejabat menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Parlimen serta pegawai-pegawai kerajaan yang memantau urusan parlimen.

Justeru, kata Mahfuz, pegawai-pegawai kerajaan yang ditugaskan mengambil catatan bagi jawapan parlimen perlu diletakkan semula di tingkat pertama supaya media mempunyai lebih banyak ruang.

Beliau juga meminta supaya had tiga wartawan setiap agensi dikaji semula dengan menaikkannya kepada lima atau enam petugas.

Arahan hanya tiga petugas media setiap agensi itu berkuat kuasa pada Isnin, dengan alasan parlimen mempunyai ruang yang terbatas.