Menteri undang-undang berharap kerajaan membentangkan pindaan Akta Dadah Berbahaya 1952 Mac depan bagi memansuhkan hukuman mati mandatori bagi pesalah berkaitan dadah.

Ia bagi memasukkan peruntukan budi bicara hakim sama ada untuk menjatuhkan hukuman mati, berbanding status semasa yang bersifat mandatori.

Nancy Shukri berkata Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali akan melakukannya dengan segera.

“Saya tahu kita boleh janjikan (pindaan) dibuat pada sesi ini.

“Saya harap perkara ini boleh dibentangkan di sesi akan datang pada Mac 2016,” katanya dalam sidang media di parlimen.

“Ini sebuah kemajuan di Malaysia,” tambahnya lagi.

Nancy dan Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz hadir ke mesyuarat meja bulat berkaitan cadangan pemansuhan hukuman mati mandatori yang dihoskan oleh parlimen Malaysia dan Parliament for Global Action (PGA).

PGA Malaysia dipengerusikan oleh Nazri. Ia sebuah jaringan anggota-anggota parlimen dunia.

“Kita sudah ada persetujuan untuk permulaan, kita patut lihat usaha menamatkan hukuman mati bagi kesalahan bukan jenayah,” kata Nazri.

Di Malaysia, hukuman mati diperuntukkan untuk kes-kes pembunuhan, senjata api, derhaka pada negara dan penyeludupan dadah.