Pemuda Umno tidak jadi buat aduan polis
Pemuda Umno menarik balik cadangannya untuk membuat laporan polis terhadap Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat jika beliau tidak menarik balik dakwaannya bahawa Umno menggunakan wang untuk memenangi pilihanraya umum lalu.
Pemuda Umno menarik balik cadangannya untuk membuat laporan polis terhadap Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat jika beliau tidak menarik balik dakwaannya bahawa Umno menggunakan wang untuk memenangi pilihanraya umum lalu.
Naib Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, laporan dan seterusnya perbicaraan di mahkamah akan mengambil masa yang lama untuk diselesaikan.
"Kita (Pemuda Umno) memutuskan tidak akan membuat laporan polis terhadap Nik Aziz, walaupun pada mulanya ia satu pilihan yang kita hendak buat.
"Sebaliknya kita akan menggerakkan seluruh jentera Pemuda Umno turun ke bawah untuk menawan Kelantan dalam pilihanraya umum akan datang," katanya ketika dihubungi oleh malaysiakini.
Isnin lalu, Khairy memberi tempoh sehingga hari ini (Rabu) kepada Mursyidul Am PAS itu supaya menarik balik tuduhanya bahawa kemenangan Umno dalam pilihanraya umum lalu kerana politik wang.
Menurut Khairy, kenyataan Nik Aziz berupa fitnah, tidak berasas, tidak adil dan ia adalah satu tuduhan yang boleh menjejaskan imej dan kredibiliti Umno.
Dalam temuramah dengan akhbar The Sunday Times sebelum ini, Nik Aziz dilaporkan berkata PAS mengalami kekalahan dalam piliharaya disebabkan politik wang.
Saman Umno
"Kita melihat dakwaan bahawa Menteri Besar Kelantan bahawa Umno menggunakan wang untuk memenangi pilihanraya umum adalah gimik politik semata-mata," tambah Khairy.
Mengenai cabaran Timbalan Ketua Penerangan Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Badrul Hisham Shahrin supaya Pemuda Umno mengheret parti itu ke mahkamah bagi membolehkan pergerakan itu membuktikan penggunaan wang oleh Umno untuk memenangi pilihanraya, Khairy sebaliknya berkata,"bawalah Pemuda Umno ke mahkamah."
Beliau berkata, kalau Pemuda PKR mempunyai bukti, kenapa tidak menyaman Umno ke mahkamah untuk dibicarakan.
"Sekarang pilihanraya umum sudah sembilan bulan berlalu, mengapa tidak bawa Umno ke mahkamah kalau ada bukti kami menggunakan wang untuk memenangi pilihanraya lalu," tanya Khairy lagi.
Dalam kenyataannya kepada
malaysiakini
semalam, Badrul Hisham berkata, Angkatan Muda PKR menyokong kenyataan Nik Aziz yang mendakwa Umno mengamalkan politik wang untuk memenangi pilihanraya umum lalu.
"Kami sedia untuk turut ke mahkamah untuk mendedahkan penggunaan wang ringgit oleh Umno dalam pilihanraya umum lalu," Badrul Hisham dilaporkan berkata.
Khairy pula berkata, cakap Timbalan Ketua Penerangan Pemuda PKR itu juga berunsur politik kerana kalau ada bukti sudah tentu mereka telah mengheret Umno ke mahkamah.

