Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
JAWI cari 12 pengikut Millah Abraham@ Ibrahim
Diterbitkan:  Nov 17, 2015 10:00 PM
Dikemaskini: 2:10 PM

Orang ramai diminta menyalurkan maklumat mengenai 12 pengikut ajaran sesat Millah Abraham@ Ibrahim yang tidak menghadirkan diri pada prosiding perbicaraan di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Paimuzi Yahya, berkata mereka yang dituduh sebagai pengikut ajaran Millah Abraham telah menghilangkan diri selepas dibebaskan dengan bon jaminan mahkamah dengan seorang penjamin sejak Oktober 2014, dan mahkamah juga mengeluarkan waran tangkap terhadap mereka.

Paimuzi berkata, 12 tertuduh itu terdiri daripada Abdul Azim Abdullah, Aizul Farikh Zainal Abidin, Zakaria Mat Kasa, Mohd Arif Abdul Aziz, Mohamad Harizal Kamarudin, Amirol Hafiz Mohd Samad, Nur Ridah Osman, Norayuni Mat Yusof, Heffy Syamsuar, Mohd Fazil Mohd Yunus, Raja Mohd Faidzul Draman dan Mohd Razid Baharudin.

Katanya, tertuduh yang ditahan dalam serbuan di Cheras perlu menghadiri perbicaraan di Mahkamah Syariah di Kuala Lumpur pada 25 November ini dan mereka yang ditahan di Wangsa Maju perlu menghadirkan diri di Mahkamah Syariah di Kuala Lumpur pada 30 November ini.

"Semua tertuduh sebelum ini ditahan menerusi dua serbuan berasingan iaitu di Megan Pheonix, Jalan Cheras, pada 20 Oktober 2014 dan di Seksyen 1, Wangsa Maju pada 3 Nov 2014," katanya pada sidang berita di Kuala Lumpur hari ini.

Pamuzi berkata, siasatan JAWI mendapati ajaran yang diasaskan Ahmad Mosadiq dari Indonesia itu jelas bertentangan dengan akidah dan syariah Islam.

Katanya, antara perkara yang bertentangan ialah mereka membawa ajaran dan kerajaan baharu, mendakwa ada rasul selepas Nabi Muhammad SAW, mensyirikkan golongan yang tidak mengikut ajaran mereka, menggabungkan tiga agama (iaitu Islam; Kristian dan Yahudi), memahami al-Quran mengikut tafsiran sendiri, mendakwa kejadian hari kiamat adalah palsu dan meninggalkan solat Jumaat serta solat lima waktu.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai 12 orang itu boleh menghubungi pegawai penyiasat JAWI, Farah Wahida Zulkiflee di talian 011-32961821 atau talian bebas tol Penguatkuasaan Jawi 1-800-881771.

- Bernama

Lihat Komen
ADS