Tuduhan mengenai dakwaan mensabotaj perkhidmatan kewangan adalah bukan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) atau Sosma, demikian diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Dengan keputusan ini, Hakim Datuk Mohd Azman Husin memerintahkan kes terhadap Khairuddin Abu Hassan dan Matthias Chang dibicarakan di Mahkamah Sesyen.
Hakim Azman turut membenarkan mereka diikatjamin masing-masing RM10,000 dengan seorang penjamin.
Beliau memutuskan bahawa perkhidmatan kewangan tidak termasuk di bawah Perkara 149 (1) Perlembagaan Persekutuan di mana undang-undang Sosma digubal oleh Parlimen.
Khairuddin dan Chang, bekas setiausaha politik kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, didakwa mensabotaj institusi kewangan dan perbankan Malaysia dengan membuat laporan polis di Singapura, Hong Kong dan United Kingdom. [Baca berita penuh]
Sementara itu, Bernama melaporkan, hakim menetapkan 12 Januari tahun depan bagi pengurusan kes sebelum kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen.
Isteri Khairuddin, pelakon Datin Seri Umie Aida membayar jaminan manakala adik Chang membayar jaminan bagi pihak Chang. Mereka ditahan di Balai Polis Dang Wangi dan di Penjara Sungai Buloh lebih dua bulan.
Kedua-duanya memfailkan notis usul di Mahkamah Tinggi memohon beberapa perintah antaranya pertuduhan yang dihadapi mereka tidak tertakluk di bawah Sosma dan sehubungan itu memohon mahkamah melepaskan mereka dengan jaminan.
Dalam Keputusannya, Mohd Azman berkata kesalahan di bawah Seksyen 124L Kanun Keseksaan tidak boleh dibaca bersama Sosma.
Beliau menjelaskan Sosma digubal mengikut Perkara 149(1) Perlembagaan Persekutuan dengan enam Resital yang mempunyai ciri-cirinya sendiri untuk dilaksanakan bagi memastikan ketenteraman awam.
"Walau bagaimanapun resital Sosma hanya menetapkan empat daripada enam resital, tidak termasuk Resital (e) berkaitan perkhidmatan perbankan dan kewangan," katanya.
Hakim juga berkata beliau berpandangan dengan ketiadaan Resital (e), Parlimen tidak pernah bercadang untuk memasukkan perkhidmatan perbankan dan kewangan ke dalam Resital Sosma 2012.
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali juga turut hadir di mahkamah.
Pada 13 Oktober, Khairuddin dan Chang memfailkan notis usul di Mahkamah Tinggi memohon beberapa perintah antaranya pertuduhan yang dihadapi mereka mengikut Seksyen 124L Kanun Keseksaan tidak tertakluk di bawah Sosma dan memohon mahkamah melepaskan mereka dengan jaminan.
Pada 19 Oktober, Mohd Azman merujuk kes mereka ke Mahkamah Persekutuan bagi menentukan isu perlembagaan pertuduhan itu dan pada 3 November, Mahkamah Persekutuan menyerahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi dan memerintahkan mahkamah itu memutuskan sama ada pertuduhan Khairuddin dan Chang tertakluk di bawah Sosma.
Di luar mahkamah, Dr Mahathir ketika ditanya pemberita berhubung keputusan itu berkata ia akan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap badan kehakiman.
Sementara itu, Umie Aida berkata beliau bersyukur dan gembira dengan keputusan mahkamah hari ini.
