Pembantu Rosmah ajak NOW sembang minum petang
Pembantu kepada isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor menjemput Pengarah Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW) Akmal Nasir untuk sesi minum petang.
Dalam tulisan di Facebooknya, Datuk Rizal Mansor berkata, jemputan minum petang bersama Akmal bertujuan untuk "bersembang" sambil membolehkannya menerangkan definisi penaung kepada Akmal.
Ini berikutan dakwaan Akmal dalam satu kenyataan semalam mempersoalkan sama ada Rosmah adalah penaung kepada Yayasan Pembangunan Anak Yatim/Miskin (PEMANGKIN)- sebuah yayasan kebajikan untuk anak yatim.
"Saya nak jemput Akmal Nasir, NOW minum petang. Sambil itu boleh sembang. Boleh saya terangkan definisi penaung.
"Akmal tanya soalan, saya jawab. Saya tanya soalan, Akmal jawab," katanya.
Selain itu, pembantu Rosmah itu juga berkata beliau turut akan memberitahu senarai persatuan serta organisasi lain yang dinaungi oleh Rosmah.
"Saya juga boleh beritahu senarai persatuan dan organisasi yang mana Datin Seri Rosmah menjadi penaung," katanya.
Akmal dalam kenyataannya meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir menjawab persoalan tentang rasional Rosmah dilantik sebagai penaung kepada badan yayasan yang menguruskan amal jariah anak yatim dan miskin.
Malah, Akmal turut mempersoalkan sama ada penubuhan PEMANGKIN bertujuan menangani masalah anak yatim dan miskin.
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.