Gerakan: Kritik perancangan PP, bukan Deepavali
Ketua Gerakan Pulau Pinang Teng Chang Yeow menyuarakan rasa terkejut kerana kenyataannya berkaitan penjadualan semula sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) semasa perayaan Deepavali dituduh perkauman.
Teng berkata Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy membuat “percubaan menakjubkan” bawah bimbingan Ketua Menteri Lim Guan Eng untuk menjadikan kenyataan itu bersifat perkauman.
“Saya persoal kelemahan penjadualan dan perancangan kerajaan negeri menetapkan tarikh mesyuarat.
“Saya tidak persoal penangguhannya kerana perayaan Deepavali,” kata Teng.
Teng berkata Ramasamy hanya membangkitkan kes di Pulau Pinang tetapi tidak menyentuh penangguhan Dewan Rakyat di peringkat pusat semasa perayaan Deepavali.
Beliau mempertahankan parlimen dengan berkata ia telah pun bersidang sejak Oktober dan menangguhkan sidang semasa perayaan Deepavali sebuah perkara biasa.
Bagaimanapun, dalam kes Pulau Pinang, kata Teng, hari pertama sidang untuk membentangkan belanjawan negeri ditetapkan beberapa hari sebelum Deepavali dan kemudian ditangguh hampir 10 hari.
“Soalan saya kerana sidang tidak boleh ditetapkan selepas Deepavali atau minggu-minggu sebelum perayaan itu?” soal Teng.
“Jelas sekali terdapat perancangan dan penjadualan yang lemah oleh kerajaan negeri.
“Dengan kelemahan perancangan dan penjadualan ini, DUN kini harus bersidang hingga tengah malam,” tambahnya.

