Zahid elak soalan individu dikehendaki untuk siasatan 1MDB
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi mengelak untuk menjawab soalan berhubung empat bekas eksekutif 1MDB dan SRC International yang dikehendaki Bank Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk siasatan mereka mengenai 1MDB.
Ditanya sama ada beliau akan mengarahkan polis untuk membantu menahan empat individu dengan memasukkan mereka dalam senarai yang dikehendaki Interpol, Zahid yang juga menteri dalam negeri berkata soalan itu sepatutnya ditujukan kepada polis.
"Yang berkaitan dengan soal operasi, saya fikir kami perlu bertanya kepada ketua polis negara (Tan Sri Khalid Abu Bakar) atau (ketua bahagian siasatan jenayah) Mohmad Salleh.
"Saya serahkan perkara itu kepada mereka untuk menjawab berkaitan isu operasi," katanya kepada pemberita dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
Dalam jawapan bertulis Parlimen semalam, Zaid berkata tiada permohonan yang diterima daripada mana-mana pihak untuk meminta bantuan Interpol bagi mengesan jutawan Jho Low dan empat yang lain kerana tiada siasatan yang dibuat terhadap mereka.
"Pihak Interpol Polis DiRaja Malaysia tidak dapat mengesan dan menentukan di mana penama-penama berkenaan berada ketika ini memandangkan tiada siasatan yang dibuat oleh polis terhadap mereka.
"Di samping tiada permohonan yang diterima daripada mana-mana pihak untuk meminta bantuan Interpol mengesan penama-penama berkenaan,” katanya menjawab soalan Wong Chen (PKR-Kelana Jaya) yang bertanya mengenai kedudukan lima individu itu.
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.