Demo 'sambut' Obama Jumaat ini
Sebuah perhimpunan dianjurkan di ibu kota pada Jumaat ini bagi membantah kedatangan Presiden Amerika Syarikat (AS) Barrack Obama ke negara ini.
NGO Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) hari ini mengumumkan rancangan itu yang akan diadakan di Menara Tabung Haji, Kuala Lumpur pada jam 2 petang.
Kumpulan itu melihat kehadiran Obama bagi mendorong Malaysia menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang disifatkannya berat sebelah dan hanya menguntungkan syarikat AS.
“Perjanjian TPPA juga dikenali sebagai satu penjajahan baru terhadap tanah air yang turut akan menjejaskan kedaulatan negara, merompak hasil bumi dan satu pembulian ekonomi,” kata pengarah propaganda SAMM Edy Noor Reduan ( gambar ).
Selain itu, SAMM juga mahu menyatakan bantahannya terhadap dasar-dasar pering Rumah Putih.
“Amerika perlu mendesak negara haram Israel menghentikan serangan terhadap Palestin dan Amerika juga harus menghentikan semua perang yang mereka terlibat secara langsung atau tidak langsung (menggunakan proksi),” katanya.
Obama antara pemimpin dunia yang dijadual menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-27 yang dihoskan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN bagi tahun ini.
Ia bermula hari ini di Kuala Lumpur.
TPPA sudah dimuktamadkan di AS sebelum ini. Malaysia akan memutuskan akan menandatangani atau tidak selepas dibincangkan di parlimen.
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.