PARLIMEN Kerajaan melantik pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) untuk menjadi pendaftar pemilih bagi memudahkan usaha mencari individu yang layak mendaftar.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim berkata berdasarkan statistik pihaknya, lebih 4.178 juta rakyat yang layak, masih belum mendaftar setakat ini.

"Jumlah ini sangat besar untuk kira cari dan daftarkan, jadi kita lantik (mana-mana pihak) yang kita rasa dapat membantu dan kemudahan melakukan pendaftaran juga diberikan kepada parti politik sebelum ini.

"Cuma malangnya ada yang didaftar sebenarnya bertindih sehingga menambah kerja Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), orang yang telah didaftarkan pun didaftar kembali," katanya di sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Normala Abdul Samad (BN-Pasir Gudang) yang minta penjelasan mengenai dakwaan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) sengaja menyusahkan proses pendaftaran pengundi terutama yang melibatkan golongan muda.

Razali berkata kerajaan tidak pernah menyukarkan proses pendaftaran pemilih malah memberi tumpuan untuk memastikan rakyat mendaftar demi menyegarkan sistem demokrasi di negara ini

Dalam pada itu, menjawab soalan asal Lim Lip Eng (DAP-Segambut) Razali berkata SPR menerima sejumlah 1,021 bantahan bagi pendaftaran baru dan 632 bantahan pendaftaran tukar alamat dari Daftar Pemilih Tambahan suku pertama hingga suku keempat 2014.

"Daripada jumlah itu, 591 bantahan bagi pendaftaran baru dan 316 bagi bantahan pertukaran alamat telah dibenarkan (diterima)," katanya semasa menjawab soalan Lim yang ingin tahu jumlah bantahan yang diterima SPRM pada 2014.

- Bernama