Mahkamah benar pemohonan Anina gantung prosiding
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan bekas anggota Umno, Anina Saadudin untuk menggantung permohonan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak bagi membatalkan saman berkaitan sumbangan RM2.6 bilion.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab membuat keputusan itu setelah mendapati kes berkenaan mempunyai kaitan dengan satu lagi kes di Mahkamah Tinggi yang difailkan Anina terhadap Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Setiausaha Kerja Umno, Datuk Ab Rauf Yusoh.
Permohonan tersebut berhubung pemecatannya sebagai ahli Umno akan didengar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman S Nantha Balan.
"Pemohon (Anina) mempunyai permohonan di Mahkamah Tinggi yang lain, adalah jelas terdapat kaitan rapat antara kedua-dua kes. Keputusan dalam kes tersebut akan memberi kesan dalam kes ini," kata Mohd Zaki ketika membacakan penghakimannya hari ini.
Berikutan keputusan itu, mahkamah menetapkan 15 Disember untuk pengurusan kes.
Pada 28 Ogos, Anina memfailkan saman terhadap Najib dan Datuk Ab Rauf, antara lain, untuk menuntut sebahagian daripada RM2.6 bilion (US$650 juta), sumbangan itu yang didakwa didepositkan oleh presiden parti ke dalam akaun peribadinya di Singapura.
Sementara itu, di luar mahkamah peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla mewakili Anina memberitahu pemberita bahawa kes di hadapan Hakim Nantha Balan itu ditetapkan pada 30 November untuk keputusan.
Anina memfailkan saman berkenaan pada 11 September lalu untuk mencabar pemecatannya sebagai anggota Umno.
- Bernama

