Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Tolak DLP kerana sayang bahasa aku'
Diterbitkan:  Nov 18, 2015 3:54 PM
Dikemaskini: 8:04 AM

Persatuan Penulis Nasional (PENA) hari ini menjelaskan kenapa mereka menolak Program Dwibahasa (DLP) dalam pengajaran mata pelajaran terpilih di sekolah-sekolah.

Presidennya Dr Saleeh Rahamad ( gambar ) berkata langkah itu diambil kerana sayangkan bahasa Melayu selain mahu mempertahankan perlembagaan dan Akta Pendidikan 1996.

“Aku tidak menentang bahasa Inggeris. Ajarlah bahasa Inggeris tapi bukan melalui subjek lain yang kritikal.

“Ilmu lebih mudah disampaikan dalam bahasa yang mudah difahami, iaitu bahasa kita,” katanya yang juga ahli akademik dalam bidang pengajian media.

Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak dalam pembentangan Belanjawan 2016 mengumumkan dua lagi inisiatif, iaitu DLP dan Highly Immersive Programme (HIP) akan dilaksanakan secara pilihan.

Sebanyak 300 buah sekolah dikenal pasti sebagai projek perintis dengan peruntukan kos RM38.5 juta.

The Star Online melaporkan bahawa sekolah-sekolah akan diberikan pilihan untuk mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Malaysia atau bahasa Inggeris untuk pelajar tahun satu dan tahun empat.

Kain rentang protes

Dalam tulisannya di Facebook, Saleeh berkata penguasaan bahasa Inggeris boleh dipertingkatkan melalui pembelajaran bahasa itu sendiri, termasuk penggunaan bahan sastera Inggeris.

Beliau juga menjelaskan tidak berminat dalam politik kepartian susulan pendiriannya itu.

Sementara itu, dalam usaha melobi pendekatan baru itu, sebuah kain rentang menolak DLP kelihatan dinaikkan di pagar ibu pejabat PENA di Kuala Lumpur.

Ia antaranya memaparkan tulisan “PENA menentang pelaksanaan DLP”.

PENA dan NGO seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) sebelum ini melihat program itu sebagai usaha mengembalikan program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dimansuhkan akibat protes awam.

DLP dan HIP adalah inisiatif Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (PEMANDU) untuk dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Menurut PEMANDU , DLP melibatkan pengajaran dalam bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains, matematik, teknologi rekabentuk dan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT).

Lihat Komen
ADS