Bekas menteri sokong sistem pendidikan dwibahasa
Rakyat Malaysia semua akan mendapat manfaat daripada sistem pendidikan yang mendidik mereka menjadi fasih berbahasa Inggeris dan bahasa Melayu, kata bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Rafidah Aziz.
"Kita perlu mempunyai pengantara, iaitu bahasa Inggeris dan Melayu. Jika relevan, kita gunakan bahasa Inggeris; jika relevan, kita menggunakan bahasa Melayu.
"Ia bergantung. Jika anda berurusan dengan sains, matematik dan apa-apa yang ada kaitan dengan pendedahan antarabangsa, gunakan bahasa Inggeris.
"Jika anda bercakap mengenai sastera Melayu, tidak apa, gunakan bahasa Melayu. Jadi, ia bergantung kepada subjek ini," katanya ketika ditemui pemberita di Kuala Lumpur hari ini.
Rafidah mengakui beliau menguasai dwibahasa kerana ia dipaksakan ke atas dirinya tetapi berkata tindakan itu adalah demi kebaikan.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam pembentangan Belanjawan 2016 mengumumkan dua lagi inisiatif, iaitu Program Dwibahasa (DLP) dan Highly Immersive Programme (HIP) akan dilaksanakan secara pilihan.
Sebanyak 300 buah sekolah dikenal pasti sebagai projek perintis dengan peruntukan kos RM38.5 juta.
Melalui program berkenaan sekolah-sekolah akan diberikan pilihan untuk mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Malaysia atau bahasa Inggeris untuk pelajar tahun satu dan tahun empat.

