14 suspek kes culik kakak Tan Sri diberkas
Polis Selangor berjaya menyelesaikan kes culik kakak seorang ahli perniagaan ternama bergelar Tan Sri bagi mendapatkan tebusan RM2 juta pada 10 November lepas, dengan penahanan 14 individu termasuk perancang utama, seminggu selepas kejadian.
Kesemua suspek warga tempatan termasuk empat wanita berumur antara 19 dan 40 tahun ditahan di tiga lokasi berasingan di Kuala Lumpur semalam (17 November), termasuk di sebuah kafe di Jalan Doraisamy, sebuah kelab di Jalan Tun Razak dan sebuah rumah kedai di Cheras.
Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat berkata dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, mangsa yang juga seorang ahli perniagaan berusia 63 tahun diculik oleh tiga lelaki menaiki kereta Toyota Estima ketika wanita itu sedang mendapatkan rawatan di sebuah pusat rawatan tradisional di Kelana Jaya.
"Ketika kejadian, tiga pekerja di pusat rawatan berkenaan cuba menghalang tetapi seorang daripada mereka telah dipukul oleh suspek menggunakan topi keledar. Mangsa telah ditahan di sebuah rumah di kawasan Cheras," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di Shah Alam hari ini.
Menurut Abdul Samah, suspek turut meminta wang tebusan RM2 juta daripada keluarga mangsa sebagai syarat untuk melepaskan wanita itu.
Pada kira-kira jam 10 malam, Isnin lepas (16 November), keluarga mangsa membayar wang tebusan RM2 juta kepada suspek dan sekitar 10 malam hari sama, mangsa dibebaskan di Stesen LRT Bandar Baharu Sentul, Kuala Lumpur, katanya.
Abdul Samah berkata, susulan pembebasan mangsa pasukan khas polis yang ditubuhkan bagi menyiasat kes itu, menangkap empat lelaki di sebuah rumah kedai di Taman Bukit Anggerik, Cheras, kira-kira 12.45 pagi semalam (17 November).
Turut dirampas daripada suspek ialah wang tunai RM10,740 selain sebilah parang, seutas tali digunakan untuk mengikat mangsa, tiga buah topi keledar serta pakaian dipakai suspek ketika kejadian.
Pada masa sama, katanya, satu lagi pasukan khas polis telah melakukan serbuan di kafe di Jalan Doraisamy dan menangkap lima lelaki termasuk perancang utama kes culik itu serta empat wanita pada kira-kira jam 1 pagi.
Beliau berkata turut dirampas daripada suspek terbabit ialah wang tunai RM514,270, 11 telefon bimbit, sepucuk pistol tiruan dan dua buah kereta Toyota Altis dan Toyota Estima yang digunakan ketika menculik mangsa.
"Pada masa sama juga, satu lagi pasukan khas polis telah menangkap seorang lelaki di sebuah kelab di Jalan Tun Razak kira-kira pukul 1 pagi dan turut merampas wang tunai RM197,700, sebuah kereta Hyundai Elantra dan sebuah telefon bimbit daripada suspek.
"Keseluruhan wang tebusan yang berjaya ditemui semula berjumlah RM722,670 dan siasatan masih dijalankan bagi mengesan baki wang tebusan RM2 juta itu.
"Kita percaya kes ini berjaya diselesaikan berikutan kesemua 14 suspek terlibat secara langsung dan tidak langsung berjaya ditangkap. Kita juga masih siasat sama ada kumpulan ini ada terlibat dengan kes culik yang lain," katanya sambil menambah seorang daripada suspek mempunyai dua rekod kesalahan lampau iaitu samun dan pecah rumah.
Mengenai perancang utama kes culik itu, Abdul Samah berkata lelaki berusia awal 40-an terbabit juga terlibat dalam perniagaan dan pihaknya sedang menyiasat status perniagaan suspek.
Tambah beliau, kesemua suspek kini direman seminggu bermula semalam bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 3 (1) Akta Culik 1961 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.
- Bernama

