Salah kaitkan tokoh korporat dengan 1MDB: Tindakan menanti MP
Kerajaan mungkin mengheret Ahli Parlimen Kelana Jaya Wong Chen ke Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen kerana salah mengaitkan seorang tokoh perniagaan utama dengan syarikat pelaburan negara, 1MDB.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Nur Jazlan Mohamed berkata Wong tidak sepatutnya mengaitkan Pengerusi Kewangan Korporat Goldman Sach Malaysia Yusof Yaacob dengan syarikat yang sarat hutang itu.
Wong dalam soalannya di Parlimen pada Isnin lalu menamakan Yusof sebagai pengerusi Deutsche Bank, satu kesilapan yang beliau kemudiannya mengakui. Beliau mendakwa bank itu mempunyai urusan dengan 1MDB.
"Kerajaan sedang pertimbangkan untuk mengheret Wong kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan.
"Saya ingin ingatkan orang ramai supaya tidak membuat tuduhan palsu atau yang tidak boleh dibuktikan kerana anda merosakkan reputasi mereka," kata Nur Jazlan kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Nur Jazlan berkata Wong harus meminta maaf kepada Yusof yang membuat aduan kepadanya bahawa majikan beliau menyoal mengapa polis mencarinya.
Wong dalam soalan Parlimen meminta menteri dalam negeri menyatakan di manakah pengarah urusan bekas anak syarikat 1MDB SRC International Nik Faisal Ariff Kamil, Pengurus Deutsche Bank Yusof Annuar Yaacob, Casey Tang dari Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) yang kemudiannya dinamakan sebagai 1MDB dan bekas pengarah eksekutif di UBG, Jasmine Loo.
Nur Jazlan juga menjelaskan bahawa Interpol yang disebut dalam jawapan Zahid adalah merujuk kepada cawangan Malaysia.
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.