Wanita Umno perkenal 'KAWAN' perkasa integrasi nasional
Pergerakan Wanita Umno melancarkan program Komunikasi Wanita Nasional (KAWAN) dalam usaha memperkasakan nilai-nilai perpaduan dan integrasi nasional.
Ketua pergerakan itu, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata KAWAN mengetengahkan dua strategi utama iaitu pendidikan dan sosial.
"Buat permulaan, kami sudah mulakan dengan kelas bahasa Mandarin iaitu Mandarin Journey For Wanita (MJ4W) selama tiga bulan kepada 46 anggota Wanita Umno Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
"Kelas yang sama juga akan diperkenalkan bermula Februari ini dan projek itu akan dikembangkan ke negeri-negeri lain seperti Perak, Pulau Pinang dan Johor," katanya dalam sidang akhbar bersempena majlis pelancaran program KAWAN di ibunegara malam tadi.
Majlis tersebut dirasmikan Menteri Kewangan Kedua merangkap Bendahari Umno, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang turut menyampai sijil MJ4W kepada 46 anggota Wanita Umno yang telah tamat kelas itu.
Shahrizat berkata kelas pelbagai bahasa tersebut menekankan kepada asas komunikasi harian yang dapat memberi keyakinan kepada setiap anggota Wanita Umno untuk diaplikasikan dalam program-program kemasyarakatan khususnya yang dianjurkan oleh parti itu.
Mengulas mengenai perhimpunan agung Umno bulan depan, Shahrizat berkata antara usul yang akan dibawa pergerakan itu adalah berkaitan isu keganasan seperti kumpulan militan IS dan keupayaan wanita dalam melonjakkan ekonomi negara.
Sementara itu, lebih 300 gerai yang menjual pelbagai barangan bakal menanti pengunjung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sempena perhimpunan agung Umno bulan hadapan.
Setiausaha Kerja Umno, Datuk Ab Rauf Yusoh berkata kawasan lebih luas disediakan untuk menempatkan gerai pada tahun ini atas permintaan tinggi daripada peniaga yang ingin menjana pendapatan sempena perhimpunan ini.
"Kita mendapat keluasan yang lebih baik tahun ini, oleh itu sebanyak dua tingkat akan digunakan bagi tujuan perniagaan berbanding pada tahun sebelum ini.
Oleh itu, lebih banyak jumlah peniaga yang akan berpeluang memperagakan barangan mereka kepada pengunjung ke PWTC tidak lama lagi," katanya kepada semalam.
Beliau berkata demikian selepas menandatangani Memorandum Usahasama antara Kembara Iman Sdn Bhd dan Tv Al-Hijrah sebagai stesen rasmi bagi program Kembara Iman.
Dalam pada itu, Ab Rauf berkata tiada sebarang perubahan dalam aturcara perhimpunan yang akan berlangsung daripada 8 hingga 12 Disember ini dan persediaan berjalan lancar.
Karnival Kembara Iman akan berlangsung di 12 lokasi seluruh Malaysia bermula Januari 2016 ini menyasarkan 250,000 pengunjung di setiap lokasi.
Ia bertujuan menyatukan umat Islam, tidak kira latar belakang, untuk berada pada satu tempat dan satu masa bagi meraikan syiar Islam di samping memberi panduan kepada mereka yang masih tercari-cari Nur dalam kehidupan seharian.
Turut hadir dalam majlis ini ialah Pengerusi TV Al-Hijrah Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor dan Ketua Pegawai Eksekutif TV Al-Hijrah Datuk Wan Alias Wan Abdullah.
- Bernama

