Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak berkata syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bawah rancangan transformasi GLC (G20) merancang untuk membawa pulang aset semasa berjumlah kira-kira RM627 juta dalam tempoh separuh kedua tahun ini.

Perdana menteri berkata kerajaan sentiasa prihatin dan akan mengambil langkah sewajarnya untuk terus menyokong ekonomi dan kewangan negara dengan persekitaran perniagaan yang lebh kondusif.

"Bagaimanapun, langkah kerajaan ini bersifat sementara bagi memberi tumpuan untuk memperteguhkan ketahanan ekonomi negara.

"Apabila keadaan lebih stabil, syarikat tempatan perlu melabur semula di luar negari bagi meningkatkan margin keuntungan serta memperluaskan pasaran dan meneroka sumber pertumbuhan baru," katanya dalam jawapan bertulis Parlimen.

Najib (BN-Pekan) menjawab soalan Datuk Mohd Zaim Abu Hasan (BN-Parit) berhubung langkah kerajaan untuk meminta syarikat GLC membawa pulang dana yang dilaburkan di luar negara untuk menyokong ringgit sebagai satu langkah bijak bagi tempoh jangka masa panjang dan pendek.

Perdana menteri turut berkata pada Disember 2014 kerajaan mengambil langkah proaktif menggesa syarikat GLC memberi keutamaan kepada pelaburan domestik serta menangguhkan pembelian aset di luar negara.

Najib berkata langkah tersebut diambil bagi menangani kesan daripada persekitaran luar yang semakin mencabar.

"Langkah ini diambil berikutan kejatuhan harga komoditi yang mendadak, penyusutan nlai ringgit dan pengurangan lebihan akaun semasa serta pertumbuhan yang lebih perlahan dalam kalangan ekonomi membangun," katanya.

Dalam jawapan itu juga, Najib turut memaklumkan bahawa harga minyak mentah pada Disember 2014 bernilai AS$62.12 setong berbanding paras tinggi AS$109.68 setang pada Mei 2014.

Sementara nilai mata wang ringgit berbanding dolar pula berada pada paras RM3.4803.

"Dengan mengambil kira senario tersebut, kerajaan berpandangan bahawa pelaburan domestik wajar dipertingkatkan untuk terus menjana dan menyokong aktiviti ekonomi negara, di samping dapat menjimatkan aliran keluar pelaburan asing.

"Sehubungan itu, kerajan telah menggesa syarikat milik dan berkaitan kerajaan serta badan berkanun dan syarikat subsidiarinya memberi keutamaan kepada kepaburan domestik bagi mengurangkan aliran keluar dana dan pertukaran asing," katanya.