Bekas mufti: Zakat tak lalu kerajaan tak sah
Tidak membayar zakat melalui agensi kerajaan bukan sahaja berdosa sebaliknya “tidak sah”, kata bekas mufti Terengganu Datuk Ismail Yahya.
“Dari segi hukum dan fekahnya mereka (pusat zakat) diberi kuasa untuk memungut.
“Jadi mereka (kerajaan) buat rundingan bahawa sesiapa yang membuat bayaran zakat bukan kepada jabatan agama Islam adalah ‘tidak sah’ dan berdosa.
“Dah berdosa, tak sah pula itu,” tegas bekas ketua hakim syarie Terengganu itu ketika dihubungi Malaysiakini .
Pengerusi Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) Datuk Che Mat Che Ali ( gambar ) semalam berkata membayar zakat terus kepada pihak tertentu tanpa melalui kerajaan adalah "berdosa".
Beliau bagaimanapun berkata hukumnya masih sah.
Sambil membangkitkan fatwa kebangsaan pada 2006 berkaitan perkara itu, Che Mat berkata sistem agihan baitulmal mempunyai data berhubung pihak yang benar-benar layak menerima sumbangan itu.
Arahan 'ulil amri'
Ismail berkata pembayaran zakat kepada institusi ditetapkan kerajaan adalah keputusan berbentuk arahan.
Justeru, mana-mana pihak yang ingkar arahan tersebut boleh disifatkan sebagai tidak mematuhi ulil amri (kerajaan).
“Tidak mematuhi
ulil amri
itu satu dosalah,” jelas Ismail lagi.
Katanya walaupun pihak berkuasa agama tidak menghalang pemberian bantuan secara langsung, ia tidak dapat dikira sebagai zakat yang diwajibkan.
“Kalau kita nak tolong mereka yang memerlukan itu boleh tapi ia tidak dinamakan zakatlah.
“Sebab bayaran zakat itu telah dibuat melalui satu arahan dan harus dibayar kepada jabatan agama Islam atau pusat pungutan zakat.
“Dan selain dua badan itu ia dikira tak betullah,” kata Ismail.
Bantuan itu cuma dikira sebagai sedekah, katanya lagi.

