Malaysia tak ikut China, janji tak sekat FB, WhatsApp
PARLIMEN I Malaysia tidak akan mengikut jejak China dengan menyekat laman sosial Facebook serta kemudahan platform Telegram, WhatsApp dan lain-lain, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak.
"(Ini) kerana sebahagian besar rakyat Malaysia menggunakan kemudahan ini untuk berkomunikasi, aktiviti keusahawanan dan sebagainya,” katanya.
Dalam jawapan bertulis di parlimen, beliau berkata sehingga September tahun ini, 1,638 aduan yang berkaitan dengan penyalahgunaan media sosial diterima oleh Suruhanjaya Multimedia (SKMM) dan Komunikasi Malaysia.
Menurutnya, 35 kes termasuk kes menghina raja dan agama Islam, telah dibawa ke mahkamah mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 oleh SKMM dari 2009 hingga 2015.
Beliau berkata demikian dalam jawapannya kepada Datuk Zainuddin Ismail (BN-Jelebu) yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang menghentikan laman sosial seperti FB, Telegram, Whatapps dan lain-lain dengan mengantikan laman sosial tersebut dengan lama sosial tempatan sperti yang dilakukan di China.
Salleh juga berkata setakat tahun ini sahaja, SKMM telah mendakwa sebanyak 14 kes di mahkamah atas kesalahan mengikut Akta 588 termasuklah kesalahan di platform media sosial.
“Setakat ini, 11 kes telah pun dijatuhkan hukuman manakala tiga daripada kes tersebut masih dalam proses perbicaraan,” katanya.
Menurut Salleh, penyebaran berita palsu melalui internet juga telah dipantau oleh pihak polis di bawah beberapa undang-undang termasuk Akta Fitnah, Akta Hasutan dan Kanun Keseksaan.

