Portal mesra Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Mykmu.net terus membidas DAP yang didakwa tidak pernah senang dengan segala perkara-perkara yang sudah termaktub di dalam Perlembagaan.
Menerusi sebuah tulisan oleh Ameen Latif, portal itu mempersoalkan kewajaran ahli parlimen Kuching, Chong Chieng Jen yang berkeras mahu menggunakan bahasa Inggeris semasa mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2016 di Dewan Rakyat, Selasa lalu.
Menurut Chong, adalah hak bagi ahli parlimen dari Sabah dan Sarawak untuk berucap dalam bahasa Inggeris.
Mengulas isu itu, Mykmu berkata tindakan itu bukan sahaja mencerminkan gelagat angkuh sombong Chong tetapi dianggap sebagai provokasi dan juga untuk menonjolkan dirinya sendiri.
“Tanya sahaja kepada ahli parlimen Kuching, kalau enggan berbahasa Melayu, mengapa perlu menyokong Bible diterjemah ke bahasa Melayu?
“Ini adalah bukti bahawa tidak pernah wujud semangat kebangsaan di dalam wakil rakyat DAP. Dan penterjemahan Bible ke dalam bahasa Melayu ada niat tersembunyi,” kata Mykmu .
Portal Umno itu juga mempersoalkan kefasihan ahli parlimen DAP berbahasa kebangsaan dengan menjadi ahli parlimen Bakri, Er Teck Hwa sebagai sasaran.
“Jika berpeluang, cari dan tonton video perbahasan oleh ahli parlimen Bakri.
“Maka, anda akan terkejut, bagaimana seorang dewasa yang lahir di negeri majoriti Melayu seperti Johor gagal secara total dalam melembutkan lidahnya ketika berbicara menggunakan bahasa kebangsaan,” katanya.
Penulis juga menimbulkan persoalan sama ada perkara itu sengajakan ataupun suratan atau juga hasil semaian kebencian terhadap tiang-tiang seri kebangsaan.
“Jika rakyat Malaysia, tetapi enggan atau tidak fasih berbahasa Melayu, ingin juga kita bertanya ‘anda rakyat Malaysia, atau bukan?’
Sambil memberikan contoh kaum pendatang dari Bangladesh yang dalam masa singkat berjaya menguasai bahas Melayu, katanya adalah pelik mereka yang dilahirkan di negara ini tidak mampu berbuat demikian.
“Bangla sudah tentu Bangla. Tetapi, dalam masa yang singkat sahaja, mereka mampu berkomunikasi dengan bahasa Melayu pada tahap yang boleh kita fahami.
“Bagaimana pula yang mengaku dilahirkan di bumi bertuah ini, tetapi mengaku pula tidak faham berbahasa Melayu? soal mykmu.
Penulis mengakhiri artikelnya dengan bertanya ‘mana dia Pak Samad?’ - merujuk kepada tokoh Sasterawan Negara Datuk A Samad Said yang juga adalah ahli DAP.
