Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak memerlukan bantuan daripada pihak polis dan Interpol untuk mengesan mereka yang dikaitkan siasatan ke atas SRC International dan isu RM2.6 bilion.
Dalam satu kenyataan media hari ini, SPRM memaklumkan bahawa ia telah pun mengambil keterangan daripada Pengarah Urusan SRC International Nik Faisal Ariff Kamil.
“Berkenaan dengan dua individu lain yang diperlukan oleh SPRM, pihak terbabit telah pun dihubungi dan usaha sedang diambil untuk bertemu dengan mereka bagi tujuan diambil keterangan.
“Justeru, SPRM tidak memerlukan bantuan PDRM dan Interpol untuk akses kepada mereka,” kata suruhanjaya itu.
Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada jawapan parlimen Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang berkata, tiada permohonan yang diterima daripada mana-mana pihak untuk meminta bantuan Interpol bagi mengesan jutawan Jho Low dan empat yang lain.
Ini adalah kerana tiada siasatan yang dibuat terhadap merekat, katanya.
Selain Jho Low dan Nik Faisal, tiga yang lain itu, Suboh Md Yassin, Casey Tang dari Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) yang kemudiannya dinamakan sebagai 1MDB dan beklas pengarah eksekutif di UBG, Jasmine Loo.
Kedua-dua Tang dan Loo dicari oleh Bank Negara pada Julai lalu.
SPRM sedang menyiasat dana SRC International yang dilaporkan disalurkan ke akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
