Umno Sepang: Tiada dalang, gerakan gesa Najib undur

Shakira Buang        

Umno Bahagian Sepang menafikan wujud dalang di sebalik desakan untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan.

Malah, ketuanya Datuk Marsum Paing percaya ia tidak ada kaitan langsung dengan kumpulan penyokong Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Saya tidak fikir begitu sebab saya melihat bahawa kita sedang bekerja memperkukuhkan parti dan tidak nampak (ada) gerakan tersebut.

"Saya yakin semua Umno bahagian Sepang mempunyai hubungan yang akrab dan kalau kenyataan terluka kerana Muhyididn dipecat, itu (pandangan) peribadi tetapi cawangan tidak," katanya dalam sidang media di pejabat Umno Bahagian Sepang, hari ini.

Sekumpulan pemimpin akar umbi Umno yang mendakwa mewakili 20 cawangan parti itu di Sepang pada Selasa mendesak Najib meletakkan jawatan sebagai perdana menteri dan presiden Umno.

Jurucakapnya Rushdan Mohamed, yang juga ketua Umno cawangan Rista Villa Perdana Putra,

berkata Najib perlu berundur kerana dakwaan skandal berpanjangan yang menjadikannya sebagai liabiliti.

Sambil menegaskan bahawa Umno bukan milik Najib, mereka berharap isu-isu tersebut boleh diselesaikan dengan segera, sebelum Umno dan BN ditolak dalam pilihan raya umum ke-14.

Mengulas lanjut, Marsum yang juga bekas ADUN Dengkil berkata desakan meletakkan jawatan yang melibatkan beberapa cawangan parti itu baru-baru ini prejudis dan mengelirukan.

"Saya telah menerima maklum balas daripada beberapa kepimpinan peringkat cawangan yang dilibatkan menyatakan rasa kesal dan kecewa terhadap tindakan yang dibuat Rushdan," kata Marsum.

Sementara itu diminta mengulas apakah tindakan yang boleh dikenakan ke atas Rushdan, Marsum berkata pihaknya akan memanggil beliau dalam tempoh terdekat sebelum dimajukan kepada Majlis Tertinggi Umno.

Najib ketika ini berdepan dengan kontroversi dalam isu membabitkan syarikat pelaburan negara 1MDB yang sarat hutang dan ‘derma’ RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya.

Beliau juga dikritik pemimpin akar umbi yang lantang, terutama selepas beliau melakukan rombakan kabinet Julai lalu yang menyaksikan pengkritiknya, Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal tersingkir.

Selain itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, kini bertukar menjadi penentang utamanya, turut menggesa supaya Najib meletak jawatan.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In