Tiada usul tidak menyokong kepimpinan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak yang akan dibawa pada perhimpunan agung parti itu bulan depan, kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata ini disahkan melalui usul yang dikemukakan oleh 191 bahagian, di mana tiada satu pun yang mengusulkan tentang perkara berkenaan.

"(Sebaliknya) usul yang diterima daripada 191 bahagian, terdapat 132 usul menyatakan secara khusus menyokong kepimpinan Najib," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata kesemua usul tersebut akan dibahaskan terlebih dahulu di Konvensyen Pemerkesaan Agenda Ummah anjuran Umno pada Selasa depan (24 November) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Mengulas lanjut, Hishammuddin yang juga menteri pertahanan berkata sebanyak 738 usul telah diterima dengan 513 daripadanya akan dibentangkan di konvensyen berkenaan manakala 225 diterima tanpa bahas.

Hishammuddin berkata daripada 225 usul tanpa bahas itu, 132 daripadanya adalah mengenai menyokong kepimpinan Najib dan selebihnya menyentuh pelbagai isu.

Sementara itu, pengerusi konvensyen berkenaan, Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata konvensyen itu akan mengetengahkan suara rakyat dari empat elemen iaitu agama, ekonomi, pendidikan dan wanita.

"Konvensyen tersebut akan dihadiri oleh wakil parti dan pihak berkepentingan antaranya cendekiawan, golongan ulama serta belia," katanya sambil menambah resolusi konvensyen akan dibawa ke persidangan agung Umno.

Beliau berkata dianggarkan 600 orang akan terlibat dalam konvensyen yang menjadi platform kepada pelbagai lapisan pihak berkepentingan untuk berbahas membincangkan suara hati rakyat.

"Perhimpunan agung akan menjadi platform untuk parti manakala konvensyen ini lebih kepada rakyat dan melibatkan wakil parti seperti pembahas yang dicadangkan di peringkat negeri manakala rakyat diwakili orang berkepentingan," katanya.

Tambahnya pecahan usul yang akan dibahaskan ialah politik sebanyak 96 usul, pindaan perlembagaan (lima), ekonomi (81), agama (58), sosial (91), pendidikan (88) dan lain-lain (94).

- Bernama