Band metal Australia sengsara dalam tahanan imigresen
Band metal Australia sengsara dalam tahanan imigresen Malaysia
Jona Weinhofen, ahli band metal Australia I Killed The Prom Queen yang ditahan di Kuala Lumpur, mendedahkan bahawa mereka dipaksa mengadakan persembahan kepada anggota imigresen Malaysia sebelum dibebaskan.
Beliau berkata, mereka terpaksa berbuat demikian selepas tahanan dua malam dalam sel yang sesak berukuran kira-kira 15 kaki persegi dan terpaksa tidur di atas lantai di mana air tandas mengalir.
"Mungkin perkara yang paling menjelekkan adalah apabila kami akhirnya dibebaskan, pengawal keselamatan mendekati kami dan berkata mereka mempunyai bilik latihan dalam pejabat yang lengkap dengan peralatan band, dan mereka menegaskan bahawa kami mesti membuat persembahan untuk mereka.
"Kami baru sahaja menghabiskan dua malam tidur di atas jubin sejuk yang mempunyai kencing bersama 35 tahanan lain yang dilayan seperti sampah dan kemudian dibawa ke tingkat atas dan diberitahu bahawa kami terpaksa memainkan lagu untuk orang-orang yang baru sahaja memenjarakan kami. Dan ini yang kami lakukan,” katanya dalam satu temu bual dengan majalah Australia BluntMag .
Menurut Weinhofen, satu-satunya sebab mereka membuat persembahan itu dan tidak menolaknya kerana pada dasarnya masih dalam jagaan imigresen Malaysia.
“Kami tidak mahu mengambil apa-apa risiko kerana bimbang akan berlaku perkara lebih buruk lagi ke atas kami," katanya.
Band metal ini telah ditahan pada Sabtu lalu kerana didakwa membuat persembahan tanpa mempunyai permit.
Weinhofen berkata kumpulan itu telah melantik promoter tempatan yang mendakwa mereka tidak perlu mempunyai permit untuk membuat persembahan. Malangnya, kata beliauperkara itu tidak benar dan sebaliknya mereka ditangkap.
Semasa dalam tahanan, Weinhofen berkata ahli-ahli band terpaksa menanggalkan kasut dan seluar dalam mereka.
Tambahnya, mereka hanya diberi secawan nasi untuk makan dan 10 liter air untuk dikongsi daripada beg plastik bersama 35 orang dalam sel mereka setiap hari.

