Masyarakat India terlalu kecil dan lemah untuk pengaruhi dasar
Sekumpulan pemimpin akar umbi masyarakat India di Malaysia menolak hasil kajian sayap penyelidikan MIC Yayasan Strategik Sosial (YSS) bahawa kaum itu ketinggalan di belakang bangsa Melayu dan Cina di negara ini kerana berpunca daripada sikap mereka sendiri.
Sekumpulan pemimpin akar umbi masyarakat India di Malaysia menolak hasil kajian sayap penyelidikan MIC Yayasan Strategik Sosial (YSS) bahawa kaum itu ketinggalan di belakang bangsa Melayu dan Cina di negara ini kerana berpunca daripada sikap mereka sendiri.
Seorang penyelidik dan aktivis sosial, S Nagarajan, yang baru sahaja menyiapkan tesis mengenai masyarakat India di negara ini, untuk ijazah kedoktorannya, berkata mereka sebenarnya terpinggir oleh politik yang diamalkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).
"Sebagai masyarakat yang kecil dan lemah dari segi ekonomi, kaum India tidak dapat mempengaruhi proses membuat keputusan untuk membawa perubahan struktur, ditambah pula dengan masalah dan ketidakupayaan kepimpinan politik kaum India," katanya ketika dihubungi.
"Masalah lain ialah kaum India juga berdepan dengan diskriminasi kaum dalam bidang pekerjaan dan peluang kenaikan pangkat di sektor awam dan swasta," katanya.
Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kelapan 2001-2005 mencatatkan pendapatan keluarga kaum India ialah RM3,044 pada tahun 2002 tinggi sedikit daripada purata pendapatan di peringkat nasional sebanyak RM3,011.
Bumiputeras pula mencatatkan pendapatan RM2,376, kaum Cina (RM4,279) dan bangsa lain (RM2,165).
Nagarajan berkata kajian semula itu juga menunjukkan bahawa 36.2 peratus kaum India bekerja di bidang asas pada tahun 2003, seperti peniaga gerai, pembantu rumah, pencuci buruh kasar, operator mesin dan pemandu.
Kemiskinan
Kira-kira 23.9 peratus bumiputera dan 18.7 peratus kaum Cina berada dalam kategori pekerjaan yang sama.
"Persoalannya ialah mengapa begitu tinggi peratusan kaum India yang bekerja dalam kategori pekerjaan berpendapatan rendah? Ramai daripada mereka yang melakukan dua atau lebih pekerjaan dan bekerja untuk tempoh masa yang panjang antara 12 hingga 16 jam sehari," katanya.
Baru-baru ini, YSS menyatakan dalam satu perbincangan tertutup bahawa 30 peratus masyarakat India di negara ini terperangkap dalam pusingan kemiskinan kerana pelaksanaan dasar awam yang tidak berkesan dan juga sikap mereka menyerah nasib kepada takdir.
Nagarajan berkata dianggarkan lima peratus daripada mereka tidak mampu mengikut arus kemajuan atau tersisih dalam masyarakat.
"Tetapi mereka sentiasa berusaha untuk mengatasi masalah yang timbul walaupun terpaksa berdepan dengan tembok yang tinggi di depan mereka, terutama kerana kekurangan peluang mendapatkan kontrak atau kenaikan pangkat," katanya.
Kemudian terdapat pula masalah lebih besar akibat daripada dasar-dasar kerajaan negeri yang masih dikongkong oleh unsur-unsur penjajahan dan sejarah, tambahnya.
"Kaum India di bawa ke sini oleh British untuk bekerja di ladang getah manakala orang Cina datang sendiri. Adalah lebih mudah untuk memberitahu mereka supaya keluar dari bidang perladangan, tetapi bagaimana mereka hendak melakukannya?
"Sikap adalah hasil daripada sistem sosial, ekonomi dan sejarah dan menjadi alasan paling popular di kalangan masyarakat pertengahan India. Hanya kerana mereka ramai bekerja dalam kategori pekerjaan berpendapatan rendah, ia tidak bermakna mereka ini semuanya penjenayah," tegasnya.
Berhenti meminta-minta
Nagarajan yang juga ahli Yayasan Penyelidikan, Pendidikan dan Pembangunan Tamil Malaysia, berkata hasil kajian YSS itu adalah "meragukan" dan sepatutnya diterbitkan untuk penilaian umum.
Katanya, YSS sentiasa enggan memberi salinan kajian-kajian yang dijalankan sebelum ini walaupun beberapa kali pergi ke pejabatnya yang terletak di ibupejabat MIC di Kuala Lumpur.
Mengenai dakwaan bahawa kaum India kurang inisiatif untuk memperbaiki diri sendiri, Nagarajan berkata beliau menjalankan penyelidikan di kawasan perladangan di Bangi di mana mereka yang telah diberhentikan kerja, berjaya mengusahakan sebuah kawasan ladang getah terbiar dan mendapat pendapatan lumayan berikutan kenaikan harga getah.
Manakala peguam dan aktivis sosial SP Pathi pula berkata masalah yang dihadapi oleh masyarakat tersebut berpunca daripada 'kelemahan struktur berfikiran dalam kepimpinan masyarakat tersebut'.
"Cara pemikiran pemimpin masyarakat India mesti berubah dan mesti berhenti daripada terus meminta-minta," katanya.
"Mengapa MIC mesti meminta-minta kepada agensi pendidikan Mara untuk mendapatkan tempat? Sepatutnya ianya disediakan, sekiranya kerajaan serius untuk membantu masyarakat India.
"Sebagai rakyat negara ini, saya sepatutnya dilindungi dan saya mempunyai hak-hak saya. Saya tidak mahu mengambil hak orang lain. Apa juga yang berhak dimiliki kaum India mesti dikembalikan," katanya.
Pada pandangan kerajaan, kata Pathi, kaum India tidak relevan kecuali bagi segelintir yang mendapat faedah daripada dasar-dasarnya.
"Ramai yang terpinggir sehingga mereka menjadi tidak relevan. Ambil contoh sekolah-sekolah bantuan modal Tamil. Lebih separuh daripada mereka terletak di tanah milik syarikat kerajaan," katanya.
Pengedar dadah
Beliau juga kesal kerana kerajaan menganggap MIC sebagai jurucakap kaum India sedangkan 'tidak banyak berubah" sejak bertahun-tahun lalu.
Manakala ahli Kumpulan Rakyat Prihatin (GCC) Charles Santiago turut menafikan dakwaan bahawa kaum India di Malaysia terpinggir kerana terkongkong dengan set minda mereka.
"Ia membayangkan seolah-olah kaum India tidak mempunyai set minda mengenai pembangunan.... itu tidak betul."
"Sebagai contohnya, mereka mendapat faedah daripada perniagaan pengangkutan kecil dan sederhana, yang sebelum ini dimonopoli oleh kaum Cina yang kini mula meninggalkan apabila ianya tidak lagi menguntungkan mereka," katanya.
Malah, katanya, kaum India juga terbabit dalam pengedaran dadah untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh kaum Cina.
Katanya, YSS jelas berusaha untuk memberi gambaran bahawa kemajuan ekonomi yang dinikmati oleh kaum India adalah hasil daripada dasar-dasar yang dilaksanakan oleh BN.
"Tetapi dasar-dasar yang sama ini juga yang menyebabkan sekolah Tamil terbiar, kadar pengangguran yang tinggi di kalangan belia-belia India dan semakin bertambahnya ibu tunggal," katanya.

