Peguam kanan Datuk VK Lingam, yang didakwa dirakam dalam pita rakaman dakwaan skandal penetapan hakim lapan tahun lalu, telah dibatalkan daripada daftar peguambela dan peguamcara awal bulan ini.
Ini berikutan keputusan yang dibuat oleh Lembaga Displin Peguambela dan Peguamcara pada 6 November.
Presiden Majlis Peguam Malaysia Steven Thiru telah mengesahkan keputusan itu dalam emelnya kepada Malaysiakini.
Lingam telah dikaitkan dengan satu skandal penetapan hakim apabila klip video yang dikatakan beliau berunding mengenai pelantikan hakim-hakim, didedahkan pada tahun 2007.
Sebuah suruhanjaya siasatan diraja ditubuhkan pada 2008 untuk menyiasat perkara itu.
Suruhanjaya lima anggota itu mengesyorkan tindakan yang diambil terhadap individu penting yang didakwa terlibat dalam skandal itu - Lingam, bekas Ketua Hakim Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan Tun Eusoff Chin, pemimpin Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan ahli perniagaan Tan Sri Vincent Tan.
Dalam laporan 191 muka surat, suruhanjaya itu mengesyorkan mereka disiasat mengikut Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi, Kanun Keseksaan, Akta Pencegahan Rasuah dan Akta Profesion Undang-undang. Baca berita penuh
Sementara itu, Bernama melaporkan Peguam Lingam, R Thayalan memberitahu media bahawa peguam kanan itu akan merayu terhadap keputusan Lembaga Disiplin di Mahkamah Tinggi.
"Jika beliau (Lingam) kembali sihat, beliau boleh meneruskannya (mengamalkan undang-undang). Beliau telahpun menutup firma guamannya dan berhenti daripada mengamalkan undang-undang pada hujung tahun lepas atas sebab kesihatan," kata Thayalan.
Beliau berkata Majlis Peguam mengemukakan aduan kepada Lembaga Disiplin pada 2007 berhubung klip video itu.
