Suhakam: Sediakan kemudahan ibadat untuk tahanan penjara

Muda Mohd noor        

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengenalpasti beberapa masalah yang menyebabkan tahanan Islam menghadapi kesukaran untuk menunaikan ibadah ketika ditahan di penjara.

Antaranya ialah tidak semua penjara dan pusat tahanan menyediakan surau, pakaian seluar dan baju pendek, kekurangan guru agama dan kekurangan bahan bacaan dan rujukan.

Pesuruhjaya Suhakam Datuk Dr Abd. Monir Yaacob berkata, beliau sendiri mengetuai lawatan ke Pusat Pemulihan Akhlak Simpang Renggam, Penjara Ayer Molek Johor Bahru, Penjara Penor Kuantan dan Penjara Sungai Buloh untuk meninjau kemudahan ibadat khususnya kepada tahanan yang beragama Islam.

Berikutan hasil kajian terhadap masalah tersebut, Suhakam mengesyorkan supaya pihak berkuasa dapat menyediakan beberapa kemudahan untuk tahanan di penjara dan lokap menunaikan ibadah.

"Kegiatan agama hendaklah diberi perhatian serius kerana ia mampu menddik jiwa dan memperbaiki diri individu. Oleh itu, semua tahanan dan banduan beragama Islam hendaklah diberi kebenaran untuk menunaikan solat Jumaat dan ibadah lain," kata beliau yang juga ahli Kumpulan Kerja Aduan dan Siasatan Suhakam.

Selian itu, katanya, mereka supaya menyediakan kemudahan seperti surau dan pakaian yang sesuai di samping menubuhkan Kor Agama di Jabatan Penjara dan pegawai-pegawai yang dilatih dihantar ke semua institusi penjara di seluruh negara.

"Dan pihak berkuasa juga hendaklah membekalkan lebih banyak buku agama sebagai rujukan," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Hak dalam perlembagaan

Dr Abd Monir berkata, Suhakam menekankan bahawa banduan dan tahanan di semua institusi penjara dijamin hak mereka untuk beribadat.

Katanya, Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa setiap warganegara bebas untuk mengamal dan mempraktikkan agama yang dianuti

Sementara itu, Presiden Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Abdul Ghani Samsuddin mengalu-alukan usaha Suhakam untuk mempertingkatkan kemudahan beribadah khususnya kepada umat Islam di penjara.

"Ibadah termasuk solat adalah satu jalan terbaik untuk mengembalikan keinsafan kepada tahanan dan banduan untuk kembali ke pangkuan masyarakat. Penyemaian kepada roh sebenarnya lebih berjaya membentuk jiwa banduan," katanya.

Menurutnya, pihak penjara perlu sedar bahawa konsep yang diamalkan sekarang yang tidak begitu memberatkan ajaran kerohanian, gagal menginsafkan tahanan.

Beliau juga menyifatkan pemakaian seluar dan baju pendek sebagai peninggalan penjajah yang langsung tidak sesuai kepada tahanan Islam.

"Bagaimana mereka hendak menunaikan solat dengan berseluar pendek. Seluar pendek hanya sesuai untuk bersukan atau melakukan kerja-kerja luar," tambahnya.

Menurutnya lagi, penjara, lokap atau pusat pemulihan sebenarnya adalah `sekolah' untuk membina keinsafan kepada tahanan ataupun banduan.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In